CHELSEA (dua dari kiri) hanya berpuas hati dengan tempat ketiga di Kejohanan Renang Perairan Terbuka ASEAN Festival NX113. FOTO Ihsan penganjur
CHELSEA (dua dari kiri) hanya berpuas hati dengan tempat ketiga di Kejohanan Renang Perairan Terbuka ASEAN Festival NX113. FOTO Ihsan penganjur

Putrajaya: Atlet negara, Terry Chong dan Chelsea Lee masing-masing meraih tempat ketiga bagi acara utama 5 kilometer (km) lelaki dan wanita Kejohanan Renang Perairan Terbuka ASEAN Festival NX113 yang berlangsung rancak di Tasik Putrajaya di sini, semalam.

Terry mencatatkan masa 1 jam 27 minit 27 saat (1:27:27s) untuk berada di belakang atlet Indonesia, Muhamad Abhinaya Putrawan yang muncul juara dengan catatan 1:13:22s.

Rakan senegara Abhinaya, Enrico Abishua meraih tempat kedua dengan catatan 1:17:23s.

Sementara itu, Chelsea melengkapkan kedudukan tiga teratas bagi saingan wanita dengan catatan masa 1:20:37s.

Juara menjadi atlet Indonesia, Virgin Silvia yang menonjolkan kejaguhannya dengan merekodkan masa 1:14:55s jauh meninggalkan rakan sepasukannya Naurah Chalisa Adeputri (1:19:10s) di tempat kedua.

Chelsea, yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi renang Maraton Thames 13km di England pada 11 Ogos, teruja melihat kejohanan kali ini mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya sudah bertanding dalam banyak perlumbaan, namun setiap satunya sentiasa memberi satu pengalaman yang baharu dan menjadikan saya seorang perenang yang lebih baik.

"Apa yang lebih menggembirakan saya ialah dapat melihat lebih ramai orang kini mula menghayati renang perairan terbuka," katanya.

Dua lagi kategori yang dilangsungkan iaitu 1.5km dan 400 meter, bagi mereka yang baharu berjinak dalam sukan ini, juga tidak kurang menariknya.

Kemeriahannya ternyata dirasai kerana ia membabitkan perenang semuda lapan tahun sehinggalah 65 tahun.

Adli Safwan Sarman muncul juara lelaki 1.5km selepas memenangi perlumbaan dengan catatan 25:24s manakala saingan wanita menyaksikan kemenangan menjadi milik Lau Chi Ching (28:12s).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 5:28 PM