AKSI permulaan kejohanan tahun lalu yang turut diadakan di Lotus Desaru Beach Resort. FOTO Ihsan Penganjur NX113
AKSI permulaan kejohanan tahun lalu yang turut diadakan di Lotus Desaru Beach Resort. FOTO Ihsan Penganjur NX113
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Seramai 500 lebih atlet triatlon terbaik tempatan dan antarabangsa akan berhimpun di Lotus Desaru Beach Resort, Johor pada 23 Julai depan untuk berentap di Kejohanan NX113 Triatlon Desaru.

Menurut Pengarah Perlumbaan, Andy Foo, pihaknya berasa bangga bukan sahaja dapat menganjurkan NX113 Triatlon Desaru tetapi diberi penghormatan oleh Persatuan Triatlon Malaysia (MTA) untuk menjadikan saingan 'sprint' selaku Kejohanan Kebangsaan.

"Kami amat berbesar hati dan kepercayaan ini akan kami balas dengan menganjurkan satu perlumbaan yang bermutu dan memberi nilai tambah buat kesemua peserta terutamanya atlet tempatan kerana mereka berpeluang merebut gelaran nombor satu Malaysia," katanya.

Daripada tiga kategori yang dipertandingkan, hanya acara pecut (Sprint) yang menggabungkan renangan 750 meter (m), berbasikal 20 kilometer (km) dan larian 5km, akan menobatkan Raja dan Ratu Triatlon Kebangsaan.

Dua lagi kategori adalah 113 Triatlon (renangan 2km-berbasikal 90km-larian 21km) dan Super Sprint (renangan 300m-berbasikal 10km-larian 2km).

"Menerusi saingan sengit seperti inilah barisan atlet sedia ada ini akan berlatih bersungguh-sungguh dan memperbaiki pencapaian diri dari masa ke semasa.

"Kami berharap akan dapat memainkan peranan dalam membentuk sekumpulan jaguh kebangsaan yang mampu mencabar pingat pada temasya sukan dan kejohanan antarabangsa yang lebih besar kelak," kata Andy.

Atlet-atlet elit luar negara mempunyai motivasi tambahan untuk melakar pencapaian cemerlang kerana mata ranking dunia turut menjadi rebutan di NX113 Triatlon Desaru.

"Kami menerima pendaftaran daripada negara-negara Asia Tenggara seperti Filipina, Thailand, Singapura dan Indonesia, sekali gus merancakkan lagi perlumbaan kali ini.

"Acara ini adalah satu-satunya di mana atlet berkesempatan untuk meraih mata ranking Triatlon Dunia," kata Andy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 4:46 PM