Syafiq Aznan


Hangzhou: Gandingan beregu campuran negara, Syafiq Kamal-Aifa Azman terpaksa akur dengan kehebatan pasangan India, Sandhu Harinder Pal Singh-Karthik Dipika Pallikal selepas mereka tewas 2-0 pada final beregu campuran bagi acara skuasy Sukan Asia 2022.

Ini sekali gus menyaksikan Syafiq-Aifa menyumbang pingat perak buat negara yang menjadi pingat ketiga daripada kem skuasy negara bagi temasya kali ini selepas emas dalam acara berpasukan wanita dan gangsa dalam acara berpasukan lelaki.

Pada pertembungan di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou itu, saingan sengit ditunjukkan apabila kedua-dua gandingan saling bertukar namun gandingan India menamatkan set pertama dengan kemenangan 11-10.

Set kedua bersambung, gandingan negara ketinggalan agak jauh 3-9 namun berjaya mengejar sehingga mendahului 10-9 namun terpaksa akur tewas 10-11 dalam masa 35 minit.

Terdahulu, gandingan Syafiq-Aifa mengesahkan slot ke final selepas menewaskan gandingan India, Anahat Singh-Abhay Singh 2-1 pada aksi separuh akhir, kelmarin.

Tewas set pertama 8-11. mereka bangkit merakam kemenangan 11-2, 11-9 untuk memastikan final acara terbabit tidak membabitkan pertembungan antara sesama wakil dari India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 3:41 PM
AKSI Syafiq dan Aifa   ketika  menentang gandingan India Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu.
AKSI Syafiq dan Aifa ketika menentang gandingan India Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu.