IGA akui pada landasan terbaik menjelang Wimbledon. FOTO AFP
IGA akui pada landasan terbaik menjelang Wimbledon. FOTO AFP
AFP

Berlin: Pemain tenis nombor satu dunia, Iga Swiatek dilihat melakukan persiapan terbaik sebelum memulakan saingan Wimbledon bulan depan selepas bangkit melakar kemenangan dalam aksi gelanggang rumput di Terbuka Bad Homburg hari ini.

Beraksi pada kejohanan pemanas badan tradisional SW19 buat kali pertama, jaguh tenis Poland itu menewaskan pemain ke-58 dunia dari Jerman, Tatjana Maria dalam tiga set perlawanan 5-7, 6-2, 6-0.

Pada saingan itu, Tatjana tampil cemerlang apabila berjaya mematahkan dua kali percubaan Swiatek pada set pertama dan turut mengambil kesempatan daripada beberapa kesilapan lawannya itu.

Juara Grand Slam empat kali itu bagaimanapun memperoleh ketenangannya sebelum bangkit melakar kemenangan untuk mara ke pusingan kedua.

"Saya akui dia (Tatjana) mempunyai gaya permainan yang berbeza. Tetapi saya cukup gembira kerana saya dapat memahami strategi permainan dia. Perkara paling penting ialah saya berjaya bangkit mengatasi masalah di atas gelanggang rumput ini.

"Saya benar-benar hanya mahu melihat ke hadapan dan memikirkan apa yang boleh saya tingkatkan perlawanan saya ketika beraksi dengan cabaran di permukaan rumput ini.

"Saya sedar saya mempunyai teknik bermain di sini cuma saya perlu meningkatkan perlawanan dengan lebih baik sebelum memulakan saingan di Wimbledon nanti," katanya.

Iga yang kini berusia 22 tahun memenangi tiga daripada lima gelaran Grand Slam termasuk berjaya mempertahankan mahkota kemenangan sewaktu Terbuka Perancis awal Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 9:27 AM