BEATRIZ bakal melakukan perhitungan dengan Iga di separuh akhir. FOTO AFP
BEATRIZ bakal melakukan perhitungan dengan Iga di separuh akhir. FOTO AFP
AFP

Paris: Beatriz Haddad Maia menjadi pemain wanita pertama Brazil mara ke separuh akhir Grand Slam sejak 1968 apabila bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menumpaskan Ons Jabeur di Terbuka Perancis.

Beatriz yang juga pemain nombor 14 dunia mara dengan mencatat kemenangan 3-6, 7-6 (7/5), 6-1 dan akan berdepan penyandang juara, Iga Swiatek.

Iga mara ke separuh akhir selepas mengalahkan pemain Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff 6-4, 6-2.

Beatriz yang berusia 27 tahun mengikut jejak juara tujuh kali kejuaraan utama, Maria Bueno selepas kali terakhir menjadi pemain Brazil mara ke separuh akhir Grand Slam di Terbuka AS 55 tahun lalu.

Maria yang meninggal dunia pada 2018, mara ke separuh akhir di Paris pada 1966 sebelum kemunculan era Terbuka.

"Ons bukan mudah untuk dihadapi, anda harus sabar namun saya percaya terhadap keadaan badan saya dan cuma mengekalkan rentak," kata Beatriz.

Ons, naib juara Wimbledon dan Terbuka AS 2022, beraksi di suku akhir pertamanya di Roland Garros.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 10:23 PM