Ashleigh Barty. FOTO EPA
Ashleigh Barty. FOTO EPA
AFP

Sydney: Pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty menarik diri pada kejohanan Sydney Klasik minggu ini untuk berehat menjelang Terbuka Australia selepas dia melakar kejuaraan perseorangan dan beregu di Adelaide Antarabangsa.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata dia mungkin melakukan perjalanan terus ke Melbourne bagi pembukaan Grand Slam tahun ini yang dijadualkan bermula seminggu lagi.

"Malangnya, saya menarik diri daripada kejohanan Sydney Tenis Klasik untuk berada tempoh pemulihan sebelum Terbuka Australia," katanya.

"Saya minta maaf kerana tidak berpeluang beraksi di hadapan peminat di Sydney tahun ini."

Ashleigh menewaskan jaguh Kazakhstan, Elena Rybakina 6-3, 6-2 untuk merangkul kejuaraan ke-14 dalam acara perseorangan sepanjang karier pada Ahad lalu diikuti memenangi acara beregu bersama Storm Sanders.

Ia adalah kejohanan pertamanya dalam tempoh empat bulan, sejak kekalahan mengejut di pusingan ketiga di Terbuka Amerika Syarikat pada September, sebelum dia mengambil keputusan untuk kekal di Australia kerana pandemik Covid-19.

Namun juara bertahan Wimbledon itu kembali bangkit dengan aksi bertenaga untuk membuktikan kenapa dia menjadi antara pemain pilihan untuk memenangi gelaran pertamanya di Terbuka Australia.

Ashleigh menewaskan pemain utama dalam saingan dekat Adelaide termasuk Coco Gauff (pemain nombor 19 dunia), Sofia Kenin (12) dan Iga Swiatek (8) sebelum ke final.

Bekas juara Terbuka Perancis, Iga, yang tewas pada aksi separuh akhir kepada Ashleigh di Adelaide, turut menarik diri dari penyertaannya dekat Sydney.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 12:35 PM