MUHAMMAD Sharul Aimy terpilih beraksi ke temasya di Hangzhou. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
MUHAMMAD Sharul Aimy terpilih beraksi ke temasya di Hangzhou. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) kemungkinan akan menghantar seorang sahaja wakil untuk menggalas cabaran beraksi di temasya Sukan Asia 2022, di Hangzhou, China bermula September depan.

Timbalan (MGF) Kaur Git Kaur berkata, pihaknya terpaksa akur dengan keputusan yang sudah ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mengetatkan kriteria pemilihan atlet iaitu hanya kategori A diberi keutamaan manakala kategori B diberi pertimbangan.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba berusaha membuat rayuan supaya seorang lagi gimnas artistik wanita dan seorang wakil gimnastik berirama (gimrama), diberi peluang beraksi di temasya empat tahun sekali itu.

"Kita akur dengan syarat yang ditetapkan MOM, iaitu atlet perlu berada dalam kelompok empat dan lapan terbaik pada kejohanan di peringkat Asia.

"Tapi kita akan meyakinkan mereka (MOM) mengenai betapa pentingnya ada sekurang-kurangnya satu wakil dari gimnastik artistik lelaki, wanita dan gimrama,"katanya.

Terdahulu, pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Temasya Sukan Asia ke-19 mengesahkan hanya Muhammad Sharul Aimy layak dan terpilih beraksi ke temasya di Hangzhou.

Hal in kerana, Sharul berjaya menamatkan saingan Kejohanan Gimnastik (Artistik) Asia di Singapura minggu lalu, di kedudukan keenam acara melombol.

Untuk rekod, kategori A akan ditanggung sepenuhnya MOM namun hanya membabitkan atlet yang memperoleh keputusan empat terbaik di kejohanan peringkat Asia.

Manakala, kategori B pula akan ditanggung sepenuhnnya persatuan sukan berkaitan namun, atlet atau pasukan yang layak beraksi ke temasya itu perlu mempunyai pencapaian enam terbaik dalam kejohanan sebenua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 5:22 PM