SHARUL kutip 14.466 mata.
SHARUL kutip 14.466 mata.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam gembira apabila melakar sejarah menjadi gimnas negara pertama dalam acara artistik meraih pingat di Kejohanan Gimnastik Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan, semalam.

Atlet berusia 22 tahun itu meraih gangsa dalam acara melombol selepas mengumpul 14.466 mata ketinggalan di belakang juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo (14.883 mata) dan atlet tuan rumah Abdulaziz Mirvaliev (14.783 mata), masing-masing mengutip emas dan perak.

Sharul Aimy mengakui dia sebenarnya hampir putus asa sebelum kejohanan bermula selepas terjatuh tiga ke empat kali ketika sesi latihan.

Di tambah dengan kecederaan di bahagian pergelangan kaki dan kehadiran gimnas handalan seperti Yulo, juara Sukan Sea dan ramai lagi menambah lagi rasa gementar di dalam diri atlet dari Terengganu itu.

"Saya hampir putus asa sebelum saingan bermula. Tapi 10 minit sebelum bermula saya cuba tenangkan diri.

"Saya dapatkan rawatan dari fisioterapi dekat sini (Tashkent) untuk kaki saya yang cedera bagi menaikkan semangat semula.

"Saya gembira, akhirnya saya berjaya cipta sejarah lagi di peringkat Asia untuk MGF (Persekutuan Gimnastik Malaysia) di Kejohanan Asia ini," katanya.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya selepas ini, Sharul Aimy berkata, dia berharap merubah warna pingat dimenanginya itu tahun depan.

"Paling penting saya nak kekalkan pingat ini di Kejohanan Asia nanti. Mungkin tahun depan saya nak tukar pingat gangsa ini kepada perak atau emas nanti dan kemudiannya teruskan kekal untuk tahun seterusnya," katanya.

Sementara itu Presiden MGF, Francis Loh akan memberi tumpuan bagi membantu Sharul Aimy untuk mahir dalam acara all-around sekali gus mencerahkan peluang beraksi pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 2:53 PM