JOE Ee akan bersaing dengan gimnas daripada Kazakhstan, Uzbekistan, Jepun dan China di temasya sukan itu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
JOE Ee akan bersaing dengan gimnas daripada Kazakhstan, Uzbekistan, Jepun dan China di temasya sukan itu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas prestasi kurang memberangsangkan dalam dua kejohanan baru-baru ini, timbul persoalan mengenai kemampuan atlet gimrama negara Ng Joe Ee untuk menyerlah di Sukan Asia Hangzhou, China, yang akan bermula 23 September ini.

Dia yang merangkul dua emas dalam disiplin bola dan reben di Sukan Komanwel tahun lalu, gagal meraih pingat di Kejohanan Gimnastik Berirama Asia 2023 di Manila dan Kejohanan Gimnastik Berirama Dunia ke-40 di Valencia, Sepanyol baru-baru ini.

Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low mengakui tugas berat menanti Joe Ee yang akan bersaing dengan gimnas daripada Kazakhstan, Uzbekistan, Jepun dan China di temasya sukan itu.

Secara realistik, Petrina yang juga delegasi pegawai teknikal bagi gimnastik berirama negara berkata MGF tidak mensasarkan sebarang warna pingat buat Joe Ee yang pertama kali membuat penampilan di Sukan Asia.

Sebaliknya, Olahragawati Kebangsaan 2022 itu diharap untuk meningkatkan rankingnya yang kini di tangga ke-53 dunia.

"Saya tidak akan bercakap mengenai pingat untuk Joe Ee, Sukan Asia dan Sukan Komanwel adalah sangat berbeza, Sukan Asia ada negara-negara terkuat. Sukan Asia adalah pertandingan bertahap lebih tinggi dan sangat penting untuk Joe Ee mendapat ranking yang baik," katanya kepada Bernama di sini.

Bagaimanapun, Petrina berkata, Joe Ee berpeluang melakukan kejutan di Hangzhou sekiranya atlet berusia 17 tahun itu fokus untuk menambah baik teknik kestabilan dalam latihan selain konsisten dengan persembahannya untuk menyaingi pencabar negara lain.

"Joe Ee perlu konsisten dan pastikan dia tidak terjatuh ketika persembahan, dalam peraturan kalau atlet jatuh memang akan jejaskan mata yang besar. Dia perlu ingat lutut dan jari kakinya perlu lurus," katanya.

Katanya, Joe Ee akan berkelana ke Baku, Azerbaijan selama dua minggu untuk menjalani kem latihan bermula 18 September ini sebagai 'bekalan' sebelum terbang ke Hangzhou pada 3 Oktober.

Joe Ee yang juga pemenang pingat perak perseorangan all-around di Sukan Sea Vietnam 2021 akan bertanding di bawah kategori B di Hangzhou, selepas menamatkan saingan pada tempat ke-12 dalam pusingan akhir all-around Kejohanan Gimnastik Berirama Asia 2023.

Dalam pada itu, Joe Ee ketika dihubungi berkata dia akan bangkit untuk menebus kekecewaan dengan menampilkan persembahan terbaik di temasya empat tahun sekali itu.

"Sasaran saya ialah untuk layak ke final dan saya harap saya dapat capai lapan terbaik.. Saya perlu beri tumpuan dan fokus dalam latihan memandangkan kelemahan saya ialah jari kaki saya tidak cukup lurus.

"(Pada kejohanan dunia) saya tidak berpuas hati dengan persembahan saya dalam acara bola, belantan dan reben. Saya boleh lakukan lebih baik. Saya akan bangkit lebih kuat, harapnya lebih baik dalam Sukan Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 8:05 PM