AZEEM akan mengetuai cabaran skuad olahraga negara di Sukan Asia Hangzhou, September depan.
AZEEM akan mengetuai cabaran skuad olahraga negara di Sukan Asia Hangzhou, September depan.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki, Muhammad Azeem Fahmi akan mengetuai cabaran skuad olahraga negara ke Sukan Asia Hangzhou, China, September depan.

Pengurus Besar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Nurhayati Karim berkata, Azeem akan bertanding di temasya itu di bawah Kategori A dengan kos penyertaan atlet itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Katanya, selain Azeem, empat lagi atlet iaitu Shereen Samson Vallabuoy (400m), Andre Anura Anuar (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Norliyana Kamarudin (lompat tinggi) akan bertanding di bawah Kategori A.

"Ketika ini ini, kami ada 21 atlet disenaraikan iaitu lima akan bertanding di bawah Kategori A manakala 15 lagi Kategori B1.

"Kami ada mohon untuk tambah seorang lagi atlet beraksi di Kategori A iaitu Grace Wong.

"Kami berharap dapat bawa 38 orang dengan baki itu akan bertanding di bawah Kategori B2. Jadi kami harap permohonan itu diluluskan," katanya kepada media selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet ke temasya Sukan Asia Hangzhou, hari ini.

Nurhayati berkata, peluang untuk atlet olahraga disenaraikan ke Sukan Asia masih belum tertutup memandangkan masih terdapat beberapa kejohanan berlangsung ketika ini.

Menurutnya, senarai akhir atlet ke temasya itu hanya akan dimuktamadkan selepas Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 5:31 PM