AZEEM diharap mampu mencipta kejutan dalam acara 100m di Sukan Asia Hangzhou. FOTO ARKIB NSTP
AZEEM diharap mampu mencipta kejutan dalam acara 100m di Sukan Asia Hangzhou. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kontinjen olahraga yang menghantar skuad terbesar ke temasya Sukan Asia Hangzhou, China, kali ini menyasarkan satu pingat gangsa.

Pada masa sama, keajaiban diharapkan daripada 19 atlet membabitkan 10 lelaki dan sembilan wanita untuk melakar kejutan.

Untuk merealisasikan sasaran itu Pengurus Besar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Nurhayati Karim berkata, beberapa atlet negara kini dihantar untuk menjalani latihan di luar negara sebagai persiapan terakhir menghadapi temasya itu yang akan membuka tirainya 23 September ini.

Mereka terdiri daripada jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong dan Grace Wong yang kini sudah berada China.

Turut mengiringi Jackie dan Grace ke China adalah atlet lempar cakera wanita negara, Queenie Ting.

"Barisan atlet pecut negara pula akan ke Indonesia untuk menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Jabar di Jawa Barat, Indonesia.

"KOM kini berusaha untuk menghantar atlet lempar cakera lelaki, iaitu Muhammad Irfan Shamshuddin ke Korea dan kini sedang menunggu maklum balas daripada pihak di sana.

"Manakala barisan atlet lompatan menjalani latihan di MSN (Majlis Sukan Negara) seperti biasa," katanya.

Kali terakhir kontinjen negara menyumbangkan pingat di pentas Asia itu adalah ketika temasya di Doha pada 2006 apabila satu perak dan satu gangsa berjaya diraih.

Perak dihadiahkan pemegang rekod kebangsaan acara lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu dan gangsa diraih Noraseela Khalid menerusi acara 400 meter (m) lari berpagar.

Sementara itu, Nurhayati turut memaklumkan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi akan kembali ke tanah air untuk menjalani latihan pusat bersama barisan pelari negara yang lain.

Azeem dijangka tiba pada 21 September manakala seorang lagi atlet pecut, Russel Alexander Nasir Taib sampai ke Kuala Lumpur pada 9 September dan Shereen Samson Vallabuoy pada 16 September.

Berdasarkan kedudukan ranking semasa, beberapa atlet dilihat mempunyai potensi untuk menyumbangkan pingat mereka terdiri daripada Shereen dan Irfan yang berada dalam kelompok empat terbaik Asia.

Namun KOM turut menjangkakan kejutan daripada Azeem untuk menyinar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 9:54 PM