MUHAMMAD Azeem tekad naik podium di Sukan Asia.
MUHAMMAD Azeem tekad naik podium di Sukan Asia.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi meluahkan keyakinan bahawa dia akan kembali lebih pantas seterusnya menghadiahkan pingat buat negara di temasya Sukan Asia Hangzhou, China, September ini.

Keyakinan itu disuarakan oleh pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) dengan 10.09 saat (s) selepas dia kini sudah kembali sepenuhnya pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya di Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan AS (NCAA) pada Mei lalu.

Justeru Azeem melihat ia bukan satu yang mustahil untuk dirinya menamatkan saingan di kedudukan podium di temasya Sukan Asia.

Malah dia tidak sabar untuk sekali lagi bersaing dengan tiga pencabarnya iaitu pelari Jepun, Hiroki Yanagita dan jaguh pecut Thailand, Puripol Boonson.

"Puripol buat keputusan yang bijak untuk tidak beraksi di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand yang lalu akibat kecederaan.

"Kami bertiga (Azeem, Yanagita dan Puripol) pernah bersaing di Colombia (Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia, Ogos tahun lalu). Kedudukan waktu itu Puripol keempat, saya kelima dan pelari Jepun itu keenam.

"Kami bertiga akan kembali bertemu di Sukan Asia. Saya percaya mereka akan mempamerkan peningkatan prestasi yang baik tetapi saya akan pastikan saya buat lebih baik berbanding mereka untuk memenangi pingat di Sukan Asia," kata Azeem.

Pada Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand baru-baru ini, Azeem terpaksa akur apabila menamatkan saingan dalam aksi final 100m di tempat kelima yang menyaksikan pingat emas dimenangi pelari Jepun, Hiroki Yanagita.

Azeem yang juga pelajar di Universiti Auburn di Alabama, berkata dia akan kembali menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini dan dijangka akan kembali semula ke tanah air dua minggu sebelum temasya Sukan Asia bermula.

"Saya sudah berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan mereka bersetuju untuk saya kembali memperkuatkan kuartet dua minggu sebelum Sukan Asia," katanya.

Untuk rekod, Datuk Rabuan Pit muncul atlet pecut lelaki negara terakhir menaiki podium di pentas temasya sukan empat tahun sekali itu, dengan menjuarai acara riben biru tersebut pada edisi 1982 di New Delhi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 11:24 AM