POGACAR hanya mengalami kecederaan patah pergelangan tangan. FOTO Instagram Pogacar
POGACAR hanya mengalami kecederaan patah pergelangan tangan. FOTO Instagram Pogacar
AFP

Paris: Bintang berbasikal Slovenia, Tadej Pogacar berkata dia menganggap dirinya 'bertuah' kerana hanya patah pergelangan tangan ketika terbabit dengan 'rempuhan gila' ketika beraksi di Liege-Bastogne-Liege classic.

Pasukan UAE berkata, pemulihan pelumba itu akan mengambil masa kira-kira enam minggu akan sedikit mengganggu persiapan Pogacar yang dalam persedia untuk menghadapi Tour de France (TdF) 1 Julai ini.

Pelumba berusia 24 tahun itu terjatuh di kilometer 85 dan menjalani pembedahan pada hari itu juga di Belgium.

Pengarah perubatan pasukan Dr Adrian Rotunno, berkata Pogacar mengalami "patah tulang scaphoid yang memerlukan skru kecil untuk mencantumkan semula serpihan tulang. Prosedur itu berjaya dan dia akan memulakan tempoh pemulihannya di rumah."

"Proses pemulihan kecederaan itu memerlukan tempoh kira-kira enam minggu. Dia akan menjalani proses pemulihan dengan segera dan beberapa sesi latihan dalaman bersama jurulatih ketika di rumah.

Pogacar menyasarkan TdF di mana dia akan berusaha untuk mendapatkan semula mahkotanya selepas dikalahkan oleh Jonas Vingegaard dari Denmark yang memenangi dua edisi sebelumnya.

"Saya bernasib baik ia hanya patah pergelangan tangan, memandangkan kemalangan gila yang berlaku," kata Pogacar di Instagram bersama-sama dengan gambar yang menunjukkan dia tersenyum dengan lengan kirinya di plaster.

"Saya juga mendoakan pemulihan yang terbaik kepada Mikkel Honore yang jatuh lebih teruk daripada saya.

"Saya berharap dapat berjumpa anda semua tidak lama lagi," kata Pogacar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 12:15 PM