SANTIAGO (kanan) jelas memakai bib Zarco ketika beraksi di Maraton Jemputan Itelligence Citylauf 2021. FOTO Agensi
SANTIAGO (kanan) jelas memakai bib Zarco ketika beraksi di Maraton Jemputan Itelligence Citylauf 2021. FOTO Agensi
Reuters

Monaco: Camilo Santiago dan atlet Honduras, Ivan Zarco Alvarez digantung enam bulan selepas pelari Sepanyol itu memakai bib lawannya di Maraton Jemputan Itelligence Citylauf 2021 di Dresden, Jerman.

Zarco mencadangkan Santiago untuk menggunakan bibnya, yang mempunyai nombor pengenalan atlet, semasa perlumbaan kerana pelari Honduras itu menarik diri akibat kecederaan tumit.

Zarco kemudiannya menghubungi Persekutuan Olahraga Dunia untuk meminta keputusan maraton itu diberikan kepada Santiago.

"Hakikatnya bahawa Zarco dan Santiago bertukar nombor bib dan ditangkap dalam forum awam menunjukkan bahawa kelakuan mereka tidak munasabah dan menyebabkan sukan itu tercemar," kata Unit Integriti Olahraga (AIU) dalam satu kenyataan.

"Pertukaran bib itu adalah perjanjian yang disengajakan untuk mengubah keputusan Zarco dalam maraton... terutamanya dalam keadaan di mana Zarco pasti tahu bahawa keputusan berkenaan adalah rekod kebangsaan Honduras," tambah mereka.

Insiden itu, yang diketahui umum selepas laman web Sepanyol, Soy Corredor menerbitkan artikel mengenai perubahan itu pada Mac 2021, mendorong Santiago memohon maaf di Twitter, menunjukkan bahawa dia tidak bermaksud mencemarkan sukan berkenaan.

Kedua-duanya kemudian memberi keterangan pada siasatan AIU bahawa beg Santiago (mengandungi nombor bib perlumbaan) hilang sejurus sebelum perlumbaan dan mereka menjelaskan kepada penganjur bahawa Santiago akan berlari dengan bib Zarco.

Bagaimanapun, penganjur maraton berkata terdapat kemudahan untuk mencetak bib di tempat permulaan dan 'tiada pegawai yang akan membenarkan seseorang atlet boleh bertukar bib'.

Pengakuan awal dan tahap perlumbaan antarabangsa yang rendah menyebabkan mereka mendapat tempoh penggantungan yang lebih singkat selama enam bulan, berbanding sekatan setahun yang akan diminta oleh AIU di hadapan Tribunal Tatatertib.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 8:57 AM