DATUK Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar dan Affan Rostam


Putrajaya: Peruntukan kewangan menerusi pembentangan Bajet 2023 adalah satu bentuk 'kepercayaan' kerajaan kepada barisan atlet untuk mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

Justeru atlet negara tidak lagi boleh memandang sambil lewa terhadap tanggungjawab yang diberikan selepas kerajaan mengeluarkan peruntukan besar khusus kepada pembangunan sukan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, barisan atlet negara harus membalas 'kepercayaan' kerajaan dengan berusaha gigih dan lebih berdisplin ketika menjalani sesi latihan.

Beliau berkata, atlet negara juga diharapkan mampu memberikan sesuatu kepada negara sekali gus membuktikan peruntukan Bajet kepada mereka adalah berbaloi.

"Saya rasa sudah tentu peruntukan Bajet 2023 yang diberikan kerajaan adalah satu jaminan sekali gus mengharapkan atlet fokus pada latihan.

"Paling penting adalah membalas kepercayaan dengan mengamalkan disiplin yang baik dan patuh kepada rawatan perubatan bagi memastikan mereka sentiasa berada pada tahap optimum," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Sukan Negara 2022 (HSN 2022) di Dataran Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan yang dihadiri lebih 20,000 peserta dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, kerajaan mempertingkatkan peruntukan Bajet 2023 mencecah RM332 juta demi memacu industri sukan ke tahap tertinggi pada tahun depan termasuk melahirkan lebih ramai juara di peringkat antarabangsa selain meneruskan usaha memburu emas sulung Olimpik.

Suntikan dana menerusi pembentangan Bajet 2023 itu menyaksikan peningkatan hampir RM100 juta berbanding tahun ini sekali gus memacu usaha pembangunan sukan dan infrastruktur berada pada tahap optimum demi melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, MSN sudah pastinya gembira dan bersyukur apabila peruntukan yang disediakan kerajaan untuk tahun depan sudah pastinya meniup semangat atlet untuk berusaha gigih mencipta kejayaan.

"Peruntukan terbabit secara tidak langsung mengiktraf atlet kita dan apa yang diberikan dengan keadaan dalam pemulihan selepas Covid-19 adalah amat memadai.

"Kita akan teruskan usaha melahirkan atlet terbaik untuk negara menerusi kerjasama dengan pihak berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 12:37 PM