SHANMUGAM berkata beberapa gelanggang terbiar juga akan dibaik pulih bagi memudahkan remaja menjalani latihan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SHANMUGAM berkata beberapa gelanggang terbiar juga akan dibaik pulih bagi memudahkan remaja menjalani latihan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Peruntukan khas RM145 juta bagi penyelenggaraan dan menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara menerusi pembentangan bajet 2022 disambut baik kerajaan negeri Melaka.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam, berkata , peruntukan terbabit diyakini mampu membantu melonjakkan prestasi atlet termasuk di Negeri Melaka.

Katanya, ia juga membolehkan kerajaan negeri memperbaiki kemudahan sukan di negeri berkenaan dengan kadar segera bagi memberi keselesaan kepada komuniti untuk bersukan.

Menurutnya, gelanggang permainan antara keperluan utama dalam melahirkan masyarakat sihat dan cergas serta membentuk atlet berdaya saing dan berkualiti di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Pembangunan dan naik taraf yang bakal dilaksanakan kelak diharap mampu menarik lebih ramai anak muda aktif dalam bidang sukan, di negeri terbabit, tambahan kemudahan sukan amat penting dalam menuju pendekatan berkenaan.

"Melaka turut memiliki ramai pemain berbakat dalam semua sukan termasuk sepak takraw dan bola tampar yang berpotensi untuk menyerlah, justeru peruntukan bajet khas dalam sukan terbabit amat bertepatan untuk sedikit sebanyak membantu Melaka memperbaiki kemudahan sukan yang rosak,"katanya.

Shanmugam berkata, beberapa gelanggang terbiar juga akan dibaik pulih bagi memudahkan remaja menjalani latihan walaupun mereka tidak memasuki sekolah sukan sekali pun.

Justeru, mereka akan menikmati pendedahan dalam fasiliti disediakan untuk menjalani latihan dan memasuki pertandingan malah jika mereka menang atau menyerlah mereka juga boleh diserapkan dalam senarai pemain berbakat Majlis Sukan Negeri Melaka Melaka serta terpilih mewakili negeri serta negara pada masa hadapan.

Apa yang pasti, masyarakat termasuk di luar bandar bakal berpeluang menikmati kemudahan sukan sebagai antara usaha mengenal pasti bakat luar biasa yang boleh menjadi aset masa depan sukan negara.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 sebanyak RM145 juta diperuntukkan untuk menyelenggara, naik taraf dan membina kemudahan sukan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 3:59 PM