SEJUMLAH RM145 juta diperuntukkan untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.
SEJUMLAH RM145 juta diperuntukkan untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kerajaan mempertingkatkan peruntukan Bajet 2023 mencecah RM332 juta demi memacu industri sukan ke tahap tertinggi pada tahun depan termasuk melahirkan lebih ramai juara di peringkat antarabangsa selain meneruskan usaha memburu emas sulung Olimpik.

Suntikan dana menerusi pembentangan Bajet 2023 itu menyaksikan peningkatan hampir RM100 juta berbanding tahun ini sekali gus memacu usaha pembangunan sukan dan infrastruktur berada pada tahap optimum demi melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

Walaupun tidak menyatakan secara terperinci sebab peruntukan terbabit meningkat, ia mungkin ada kaitan dengan usaha kerajaan melahirkan lebih ramai juara seperti kejayaan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta sejarah memenangi Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tahun ini menyaksikan arena sukan negara memahat sejarah sukan membanggakan apabila pasangan terbabit berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

"Melihatkan kepada pentingnya program latihan dan fasiliti sukan yang terbaik, sejumlah RM332 juta disediakan iaitu RM145 untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.

"RM154 juta bagi menjayakan pembangunan ekosistem sukan yang menyeluruh melalui pencarian bakat baharu, program latihan, kelengkapan fasiliti sukan, hinggalah membawa negara ke podium sukan antarabangsa.

"RM20 juta ringgit bagi membuka peluang belia terlibat dalam sukan permotoran di platform betul melalui pembangunan litar drag. RM13 juta untuk pembangunan e-sukan," katanya menerusi pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu, e-sukan terus mendapat peruntukan daripada kerajaan apabila bakal menerima RM12 juta khusus kepada pembangunan sukan terbabit. "Potongan cukai bagi mereka yang menyumbang kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang terbabit dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi," katanya.

Turut menerima khabar gembira adalah atlet paralimpik negara dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) apabila masing-masing turut tersenarai antara penerima peruntukan Bajet 2023.

"Kami turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet para negara yang berjaya menggenggam 36 emas di Sukan Para Asean. Bagi melahirkan lebih ramai atlet para bertaraf antarabangsa, RM12 juta disediakan khusus untuk pembangunan sukan OKU (orang kelainan upaya).

"Kerajaan akan menyediakan peruntukan RM5 juta kepada Yakeb untuk tahun 2023 dan selanjutnya. Selain itu RM10 juta untuk meneruskan Hari Sukan Negara dan Jelajah Fit Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:03 PM