YAKEB prihatin nasib bekas atlet yang tidak bernasib baik.
YAKEB prihatin nasib bekas atlet yang tidak bernasib baik.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang apabila pengumuman RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyelesaikan isu kekurangan dana pertubuhan terbabit dalam usaha memperbanyakkan program dan bantuan kepada bekas atlet kurang bernasib baik.

Pengerusi Yakeb Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya merancang melakukan pelbagai program keusahawanan dan bantuan perniagaan kepada bekas atlet supaya mereka tidak lagi dibelenggu masalah kewangan terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Beliau berkata, perancangan terbabit mungkin terbantut jika tidak mendapat sokongan pihak berkaitan dan ternyata kepayahan pertubuhan terbabit akhirnya didengari oleh kerajaan menerusi peruntukan dalam pembentangan Bajet 2023.

"Kami bukan hanya mahu menyediakan program dan kemudahan terbaik buat bekas atlet namun turut membabitkan mereka kurang bernasib baik atau memerlukan bantuan perubatan serta peralatan sokongan yang sedia maklum harganya cukup mahal.

"Mungkin dahulu kita berikan RM20,000 untuk pembelian peralatan sokongan kepada mereka menghidap penyakit kronik dan tahun depan mungkin meningkat sehingga RM30,000.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Kementerian Belia dan Sukan yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan bekas atlet," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM332 juta bagi memacu industri sukan ke tahap tertinggi pada tahun depan termasuk melahirkan lebih ramai juara di peringkat antarabangsa selain meneruskan usaha memburu emas sulung Olimpik.

Suntikan dana menerusi pembentangan Bajet 2023 itu menyaksikan peningkatan hampir RM100 juta berbanding tahun ini sekali gus memacu usaha pembangunan sukan dan infrastruktur berada pada tahap optimum demi melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

Menerusi pembentangan bajet itu RM5 juta diperuntukkan untuk Yakeb bagi 2023 dan selanjutnya sekali gus nasib bekas atlet di negara ini terus terbela.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:59 PM