PENGARAH MSN, Datuk Ahmad Shapawi. -FOTO NSTP
PENGARAH MSN, Datuk Ahmad Shapawi. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peluang beraksi di kejohanan antarabangsa selepas ini boleh dikatakan lebih mudah dan cerah menerusi peruntukan RM10 juta kepada pembangunan atlet yang diumumkan kerajaan kelmarin.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, peruntukan terbabit begitu penting sejajar dengan misi pihaknya untuk ketengahkan bakat muda di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya menghargai peruntukan dan pengiktirafan kerajaan kepada atlet luar biasa ini yang mempamerkan aksi membanggakan terutama di Sukan Paralimpik Tokyo, baru-baru ini.

"Kita amat menghargai pengiktirafan kerajaan atas pencapaian atlet luar biasa yang mempamerkan kecemerlangan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 malahan kejayaan mereka ini turut mengulangi pencapaian di Rio 2016.

"Dengan peruntukan khusus kepada pembangunan sukan para negara sebanyak RM10 juta ini, sudah tentu ia membolehkan kita merancang dan melaksanakan lebih banyak pertandingan untuk membolehkan atlet luar biasa dapat mengeluarkan bakat yang ada serta tampil ke depan untuk kita bangunkan bakat mereka," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada MSN untuk meningkatkan program latihan atlet para dan melaksanakan Liga Sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memperkasakan lagi Sukan OKU.

Turut diumumkan peruntukan RM159 juta bagi membina, menaiktaraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara dengan antaranya memulakan pembinaan sebuah stadium dengan pelbagai fasiliti di Bukit Merbau, Pasir Putih, Kelantan.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan peruntukan RM20 juta bagi merancakkan pertumbuhan e-sukan yang dilihat mempunyai prospek terbaik bagi pembangunan sukan negara.

Sementara itu, Shapawi berkata, pihaknya juga menyambut baik usaha kerajaan yang menyediakan peruntukan kepada e-sukan dalam usaha memacu ekonomi negara pada masa akan datang.

"Kita juga maklum mengenai hasrat kerajaan, mahu menjadikan e-sukan sebagai salah satu cabang industri sukan yang memberikan pulangan ekonomi konsisten atau mampan kepada ekonomi negara dengan meneruskan lagi peruntukan e-sukan sebanyak RM20 juta termasuk cabang baharu iaitu sukan dron.

"Semua ini akan dibincang dengan pihak kementerian untuk memperincikan lagi bagaimana untuk melaksanakan program yang diperuntukkan dalam Bajet 2022.

"Pada masa sama, sudah tentu kita akan dapat penerangan terperinci daripada Kementerian Kewangan mengenai peruntukan sebenarnya yang akan diperoleh MSN dan sehingga itu kita sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan dalam menyediakan peruntukan yang sederhana kepada kita bagi melalui 2022 nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 2:04 PM