CHAN Yiwei (tengah) merampas emas skuasy perseorangan wanita daripada Kedah, hari ini. FOTO FC MAJLIS SUKAN WILAYAH PERSEKUTUAN
CHAN Yiwei (tengah) merampas emas skuasy perseorangan wanita daripada Kedah, hari ini. FOTO FC MAJLIS SUKAN WILAYAH PERSEKUTUAN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain skuasy Wilayah Persekutuan, Chan Yiwei menebus kekecewaan empat tahun lalu di Sukan Malaysia (Sukma) Perak apabila memenangi pingat emas dalam acara perseorangan wanita, hari ini.

Lebih manis, dia menewaskan wakil Kedah, Aira Azman 3-2 dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta. Aira adalah adik kepada pemain kebangsaan, Aifa Azman yang mengecewakan Yiwei pada final Sukma 2018.

Yiwen bermula dengan baik apabila menang set pertama 11-3, namun Aira berjaya memenangi dua set berikutnya 11-8, 11-3.

Yiwen kembali bangkit apabila menang set keempat dan kelima 11-5, 11-4, sekali gus mengesahkan emas pertama buat dirinya dalam acara perseorangan wanita sejak mula beraksi di pentas Sukma pada 2016.

"Saya tidak selesa pada bahagian betis di awal perlawanan. Saya lebih banyak fikirkan keadaan badan daripada permainan sendiri.

"Saya mula hilang fokus menyebabkan tewas pada set kedua dan ketiga. Namun, rakan beritahu saya ia bukan pengakhiran dan percaya dengan diri sendiri.

"Akhirnya saya berjaya mencuri satu pingat emas Kedah hari ini. Saya tidak mahu terlepas emas lagi memandangkan ini adalah Sukma terakhir," kata Yiwen yang berada di ranking ke-74 dunia.

Emas perseorangan wanita di pentas Sukma sebelum ini didominasi sepenuhnya Pulau Pinang menerusi Datuk Nicol Ann David (1998, 2000, 2002), Low Wee Wern (2006, 2008, 2010), Low Wee Nee (2012) dan Vanessa Raj (2014).

Dua tahun selepas itu, giliran Kedah menguasai pentas Sukma selama dua edisi berturut-turut menerusi S Sivasangari pada 2016 dan Aifa, empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 5:12 PM