Yiwen, 23, kini berada di ranking ke-77. -FOTO NSTP
Yiwen, 23, kini berada di ranking ke-77. -FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain skuasy kebangsaan, Chan Yiwen berpendapat dengan bekerja lebih keras sahaja peluang untuk mendapatkan pingat di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) akan menjadi lebih cerah.

Kata Yiwen, meskipun agak sukar untuk memenangi pingat emas di LA28, kesemua pemain harus berusaha dari sekarang kerana kurang dari lima tahun temasya terbesar dunia itu akan bermula.

Selain itu, dia turut berharap akan ada kerjasama daripada pelbagai pihak kerana dengan kudrat atlet sahaja tidak mencukupi untuk capai kejayaan di LA28.

"Sudah tentu semua atlet mahu beraksi Olimpik LA28 apatah lagi sukan kami (skuasy) pertama kali akan dipertandingkan di sana.

"Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam lima tahun akan datang tetapi ketika ini ranking kita jauh daripada 10 terbaik dunia," katanya.

Pemain berusia 23 tahun yang kini berada di ranking ke-77 dunia berharap dia dan rakan-rakannya dapat mengurangkan jurang prestasi dengan pemain ternama serta mengejar ranking dunia lebih baik sebelum Sukan Olimpik LA28 bermula.

Ketika ini pemain negara seperti Aifa Azman menghuni tangga ke-25, diikuti S Sivasangari (32), Rachel Arnold (39), Aira Azman (52), Low Wee Wern (61) dan Ainaa Amani Ampandi (66).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 1:27 PM