AIFA memeluk Nouran selepas tamat perlawanan. FOTO FB Persekutuan Skuasy Dunia
AIFA memeluk Nouran selepas tamat perlawanan. FOTO FB Persekutuan Skuasy Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perjalanan skuad negara di Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia di Kaherah terhenti di separuh akhir apabila tewas di tangan juara bertahan Mesir 0-2.

Malaysia berdepan dengan tuan rumah di Madinaty Sporting Club menurunkan Chan Yiwen selaku pemain pertama tewas di tangan Hania El Hammamy 8-11, 2-11, 5-11 dalam tempoh 23 minit.

Aifa Azman yang menghuni ranking ke-33 dunia turun selaku perseorangan kedua berjaya mencuri satu set daripada pemain ranking pertama dunia, Nouran Gohar namun akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 8-11, 11-13, 11-3, 4-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama 43 minit.

Ketua jurulatih kebangsaan, Ajaz Azmat bagaimanapun tetap memuji semangat juang dipamerkan skuad muda negara yang tidak mudah menyerah kalah

"Pemain negara bermain dengan baik biarpun mereka tahu mereka berdepan dengan pasukan yang jauh lebih kuat.

"Corak permainan mereka sangat positif dan cuba untuk mendapatkan keputusan terbaik dan saya rasa hari ini (semalam) adalah persembahan terbaik Aifa di kejohanan ini," katanya.

Kegagalan itu bagaimanapun terisi dengan kejayaan bekas pemain kebangsaan negara, Ong Beng Hee yang kini melatih pasukan wanita Amerika Syarikat (AS) berjaya membawa pasukan itu berdepan Mesir di pentas akhir.

Skuad AS melakar sejarah apabila mereka yang diletakkan sebagai pilihan kedua tidak pernah menewaskan England di Kejohanan Berpasukan Dunia sebelum ini, menang 2-0.

Untuk rekod pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan dwitahunan itu ialah apabila Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Zulhijjah Azan menduduki tempat kedua pada edisi 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 12:41 PM