IKHMAL  dan Nur Maisara  menghadiahkan empat pingat emas buat UUM.
IKHMAL dan Nur Maisara menghadiahkan empat pingat emas buat UUM.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Universiti Utara Malaysia (UUM) cemerlang dalam sukan golf apabila berjaya menyapu empat pingat emas sekali gus pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022, semalam.

Empat emas yang diperoleh itu menyaksikan mereka berjaya melepasi sasaran ditetapkan iaitu dua emas.

Pada saingan golf yang berlangsung di Bukit Beruntung Golf & Country, Rawang itu, Muhammad Ikhmal Basry dan Nur Maisara Saad masing-masing meraih emas dalam acara individu gross lelaki dan gross wanita.

Mereka turut melakukan kejutan apabila menambah dua lagi emas menerusi acara kumpulan gross dan kumpulan net.

Jurulatih golf UUM, Wan Rosni Wan Chik berkata, beliau sebenarnya tidak menyangka pasukannya mampu menjadi juara keseluruhan sukan golf yang dipertandingkan dalam temasya SUKIPT edisi ke-5 ini.

Ini kerana, pasukan lain turut menghantar barisan atlet terbaik mereka dalam temasya kali ini.

"Sebenarnya pada edisi kali ini kita meletakkan sasaran memburu dua emas saja, namun Ikhmal dan Nur Maisara mempamerkan persembahan cukup baik.

"Kedua-dua mereka perbaiki catatan terbaik mereka untuk memastikan pingat emas menjadi milik UUM pada edisi kali ini.

"Saya berbangga dengan pencapaian mereka semua dan saya harap akan ada kejayaan yang lebih baik mampu dicapai mereka di pentas lebih tinggi," katanya.

Kem golf UUM turut berjaya meraih tiga perak dan satu gangsa. Manakala penuntut Universiti Malaya (UM), Ahmad Hafiz Selamat meraih emas dalam acara individu net lelaki.

Selain itu, atlet dari Sunway University, Evelyn Yeoh Xiao Yan mengungguli acara individu net wanita sekali gus melayakkannya meraih emas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 4:25 PM