AMIR Izwan harap Azeem dapat kekalkan momentum. FOTO Ihsan Instagram _azeemf
AMIR Izwan harap Azeem dapat kekalkan momentum. FOTO Ihsan Instagram _azeemf
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada sebarang rahsia mengenai kejayaan pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi yang kini mengukir nama di pentas dunia.

Cuma atlet berusia 18 tahun kelahiran Perak itu mempunyai keazaman, keinginan yang sangat tinggi untuk berada di puncak dan mahu berjaya dalam bidang yang diceburinya.

Itu antara perkara yang dikongsi oleh jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah selepas Azeem menamatkan cabaran di kedudukan kelima peringkat akhir acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, awal pagi tadi.

Amir ketika dihubungi berkata, beliau menganggap Azeem sebagai anak sendiri dan memberi penekanan yang lebih dari aspek psikologi.

"Tiada apa-apa rahsia kalau bercakap pasal kejayaan Azeem hari ini. Cuma saya sentiasa beri dia dorongan dan memahami situasi dia, keadaan, perasaan dan emosi dia.

"Saya beri keutamaan dari aspek psikologi dan anggap dia seperti anak saya sendiri," kata Amir yang kini berada di Cali, Colombia bersama Azeem.

Amir antara individu yang menjadi tulang belakang kejayaan Azeem melatihnya hingga kini berkata, satu lagi kelebihan yang ada pada Azeem adalah dia mempunyai jiwa yang kental untuk berjaya.

Malah ketika dalam tempoh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia terpaksa keluar sekolah sebanyak dua kali untuk menyertai dua kejohanan di Kuala Lumpur, Kejohanan Malaysia GP (Grand Prix) dan KL All Comers dan akhirnya mencapai keputusan cemerlang iaitu 6 A dalam SPM.

Kini Azeem sekali lagi mencetus sensasi apabila pada usia 18 tahun dia sudah bergelar pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s memadamkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s yang dilakukan ketika temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak 2016.

Catatan 10.09s itu juga adalah catatan terpantas peringkat Asia berkongsi kedudukan dengan juara Sukan Sea Hanoi, Vietnam dari Thailand, Puripol Boonson.

Tegas Amir apa yang paling menggembirakannya adalah dia Azeem berjaya mempamerkan aksi konsisten dengan kejayaan merekodkan masa bawah 10.20s dalam aksinya di Colombia.

Begitupun misi Azeem belum berakhir apabila bakal turun beraksi dalam acara 200m awal pagi esok.

Sama seperti acara 100m, Amir menegaskan sasaran utama Azeem dalam acara 200m adalah untuk mara ke peringkat akhir.

"Misi pertama layak ke peringkat akhir. Jika berjaya pecahkan rekod acara 200m adalah bonus.

"Saya harap dia dapat kekalkan momentum. Saya harap dia terus berusaha dan jangan berputus asa.

"Biarpun dia sudah banggakan kita semua dan harumkan nama negara. Kekalkan momentum prestasi di tahap terbaik," katanya.

Rekod dalam acara 200m kini dipegang oleh Russel Taib dengan catatan 20.77s yang dilakukan pada 2019 di Kejohanan Trek Klasik, Brisbane Australia.

Terdahulu Azeem menamatkan saingan final acara 100m di tempat kelima daripada lapan peserta selepas mencatatkan 10.14s pada saingan final yang berlangsung di Stadium Pascual Guerrero Olympic.

Atlet Botswana, Letsile Tebogo muncul juara dengan catatan 9.91s manakala tempat kedua dimenangi Bouwahjgie Nkrumie dari Jamaica, 10.02s.

Tempat ketiga diraih atlet Afrika Selatan, Benjamin Richardson yang melakukan, 10.12s.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 1:25 PM