AZEEM menerima rawatan selepas tercedera ketika menyertai Sukma.
AZEEM menerima rawatan selepas tercedera ketika menyertai Sukma.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi kini berada pada prestasi terbaik untuk beraksi dalam acara 200 meter (m) di Piala Cabaran Olahraga dekat Niigata, Jepun bermula esok.

Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, tiada sasaran spesifik diletakkan untuk Azeem selepas menyerlah pada temasya Sukan Malaysia (Sukma), baru-baru ini.

"Keadaan Azeem sangat baik dan tiada masalah atau kecederaan yang serius. Dia sememangnya sudah bersedia untuk bertanding walaupun jangka masa pendek selepas Sukma.

"Untuk saya, tiada sasaran spesifik diletakkan kepadanya. Hanya berdoa Azeem dapat buat yang terbaik," katanya ketika dihubungi.

Pada temasya Sukma lalu, Azeem mengungguli acara pecut 100m selepas melakukan catatan 10.25s.

Namun catatan itu masih belum dapat memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 10.09s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia, awal Ogos lalu.

Azeem juga tidak dapat meraih emas dalam acara 200m selepas dilihat memperlahankan lariannya pada 10m terakhir untuk berpuas hati meraih perak sebelum dikejarkan Institut Sukan Negara (ISN).

Mengulas kecederaan itu, Amir berkata, ia bukan disebabkan masalah hamstring yang mungkin akan memberi kesan besar kepada Azeem."Ia cuma ketegangan otot disebabkan banyak berlari dalam masa singkat sekali gus tidak cukup masa untuk proses pemulihan," katanya.

Catatan peribadi terbaik Azeem menerusi acara 200m adalah 20.83s yang dilakukan di Cali.

Atlet lompat tinggi lelaki, Eizlan Dahalan dan atlet lempar cakera wanita, Queenie Ting juga akan beraksi di Piala Cabaran Olahraga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 5:30 PM