AZEEM selepas memenangi acara saringan 100m di Cali.
AZEEM selepas memenangi acara saringan 100m di Cali.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mencipta sensasi di bumi Colombia apabila mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 100 meter (m) dengan memadamkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18 saat (s) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali awal pagi tadi. Beraksi di saringan kelapan, Azeem mencatatkan masa 10.09 saat (s), catatan kedua terpantas di peringkat saringan sekali gus melayakkan diri ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung 4.40 pagi esok.

Catatan 10.09s itu adalah catatan kedua terpantas daripada 60 penyertaan atlet dalam acara 100m di kejohanan berkenaan yang menyaksikan pelari Lestsile Tebogo dari Botswana muncul pelari terpantas peringkat saringan dengan rekod baru kejohanan iaitu 10s.

Manakala pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi, Vietnam daripada Thailand, Puripol Boonson turut melayakkan diri ke separuh akhir selepas memenangi saringan keenam dengan catatan masa 10.20s.

Catatan masa Azeem itu memberi petanda positif bahawa dia mampu untuk mencatatkan masa lebih baik selepas ini.

Malah ia bukan mustahil buat atlet berusia 18 tahun itu menjadi pelari Malaysia pertama merekodkan masa di bawah 10s.

Pencapaian Azeem juga menyaksikan dia kini mendahului senarai pelari terpantas Asia di peringkat remaja menewaskan atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita yang memiliki catatan 10.16s diikuti Puripol merekodkan masa 10.19s di kedudukan kedua.

Ketiga terpantas adalah pelari China, Wang Shuang dengan masa 10.23s. Turut cemerlang di bumi Cali, adalah atlet lontar peluru lelaki negara Jonah Chang yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir selepas melakukan lontaran 18.97 meter (m).

Peringkat akhir acara lontar peluru juga akan berlangsung 6.15 pagi esok waktu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 7:17 AM