PELUMBA Perancis, Geoffrey Bouchard terpaksa menarik diri daripada Tour de France kerana positif Covid-19. FOTO AFP
PELUMBA Perancis, Geoffrey Bouchard terpaksa menarik diri daripada Tour de France kerana positif Covid-19. FOTO AFP
AFP

Dole, Perancis: Pelumba Perancis, Geoffrey Bouchard dari pasukan AG2R menarik diri daripada Tour de France selepas positif Covid-19 menjelang perlumbaan peringkat kelapan dari Dole dan Lausanne, hari ini.

Pelumba berusia 30 tahun itu yang membuat kemunculan kali pertama di jelajah ini, menjadi pelumba pertama menarik diri kerana Covid-19, menyebabkan pasukannya terus mengamalkan protokol ketat termasuk memakai pelitup muka.

Tidak lama kemudian, rakan sepasukan kepada juara bertahan, Tadej Pogacar, turut diuji positif, sekali gus melemahkan impian pelumba Slovenia itu mengekalkan pendahuluan.

Pelumba Norway berusia 33 tahun, Vegard Stake Laengen, kerap dilihat menarik pasukan UAE Team Emirates di depan, namun tidak sihat walaupun diuji negatif pada pagi Khamis.

Selepas mengalami kesukaran pada peringkat ketujuh, Bouchard menjalani ujian saringan sebelum didapati positif.

Bouchard - Raja Bukit bagi perlumbaan Vuelta a Espana 2019 dan Giro d'Italia 2021 - kemudian diasingkan daripada rakan sepasukannya yang diuji negatif.

"Pada peringkat ketujuh, saya merasa tidak sihat," kata Bouchard.

"Ia cukup mengecewakan kerana perlumbaan bakal memasuki laluan kegemaran saya iaitu bukit dan gunung.

"Ini penampilan pertama saya di Tour de France dan cukup mengecewakan ia berakhir begini."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 8:55 PM