FROOME bersedia buru gelaran kelima Tour de France. FOTO Agensi
FROOME bersedia buru gelaran kelima Tour de France. FOTO Agensi
AFP

Milan: Juara Tour de France, Chris Froome memberi amaran bahawa dia sudah bersedia mengibarkan cabaran bersama pasukan barunya, Israel Start-Up Nation menjelang perlumbaan Jelajah Alps esok.

Froome, 35, kini berusaha untuk kembali mendapat rentak terbaik selepas terbabit dengan kemalangan serius pada kelajuan tinggi sehingga mengancam kariernya pada 2019.

Pelumba Britain itu menduduki tempat ke-47 dalam perlumbaan pertama bersama pasukan barunya di Jelajah UAE pada Februari lalu dan menduduki tempat ke-81 di Jelajah Catalonia bulan lalu.

Namun Froome berpendapat bahawa dia mampu mencapai prestasi terbaik di Pergunungan Alps antara Austria dan Itali seterusnya mencapai matlamat utamanya merangkul gelaran Tour de France yang kelima selepas mendominasinya pada 2013, 2015, 2016 dan 2017.

"Biarpun ini adalah minggu yang sukar bagi saya tapi secara peribadi saya merasakan prestasi saya semakin meningkat dan memberi keyakinan untuk perlumbaan seterusnya.

"Daripada sudut pandangan pasukan, ia satu yang sangat bagus melihat semua pelumba berusaha ke satu destinasi yang sama.

"Walaupun kami masih lagi satu pasukan yang baru, kami cuba berusaha untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain.

Pelumba Ireland Dan Martin akan mengetuai pasukan pada perlumbaan membabitkan lima peringkat yang akan menelusuri selatan Austria dan utara Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 12:07 PM