AKRAMUDDIN berkata beberapa pindaan lain turut dipersetujui bersama dalam EGM bagi memastikan pemilihan kepimpinan PSM lebih lancar. FOTO Bernama
AKRAMUDDIN berkata beberapa pindaan lain turut dipersetujui bersama dalam EGM bagi memastikan pemilihan kepimpinan PSM lebih lancar. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menggubal perlembagaan dengan melakukan pemilihan jawatankuasa tertinggi menerusi kaedah undian secara sulit.

Hal ini bermakna, undian yang dilakukan sebelum ini dengan kaedah 'angkat tangan' tidak lagi dipraktikkan sekali gus pemilihan jawatankuasa tertinggi kelak akan dilakukan secara lebih telus dan adil.

Mengesahkan perkara terbabit, Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, beberapa pindaan lain turut dipersetujui bersama dalam mesyuarat Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM) bagi memastikan kepimpinan PSM lebih lancar seterusnya dapat melaksanakan pelbagai aktiviti tanpa masalah.

"Antara penambahbaikan yang dilakukan adalah pemilihan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha dan Bendahari boleh memegang jawatan atau bertanding tanpa mengikut satu penggal.

"Contohnya, Si A berjaya memegang jawatan negeri pada tahun itu dan pada tahun sama juga ada pertandingan di peringkat persekutuan maka dengan itu dibenarkan bertanding.

"Pada masa sama, undian dijalankan secara sulit kerana dahulu dibuat secara angkat tangan dan Alhamdulillah semua perwakilan menyatakan persetujuan pindaan perlembagaan itu," katanya, dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan PSM, di sini, semalam.

Pada mesyuarat terbabit, seramai 51 individu mewakili 16 persatuan sepak takraw kecuali Putrajaya, Selangor, Sarawak dan Perlis hadir untuk membincangkan mengenai penambahbaikan dan hala tuju PSM.

Terdahulu, Tiga ahli gabungan yang diketepikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersama Perlis yang masih digantung badan induk itu melakukan tindakan drastik apabila mahu menubuhkan entiti baru sepak takraw negara yang dinamakan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.

Tindakan ketiga-tiga ahli gabungan berkenaan iaitu Selangor, Sarawak dan Putrajaya bersama Perlis adalah berikutan kecewa dengan PSM yang didakwa gagal baik pulih badan induk itu selepas disingkirkan oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Dakwa mereka, PSM juga dilihat mahu meminda perlembagaan yang sudah dipersetujui dan dimuktamadkan bersama-sama Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebelum ini pada EGM badan induk itu esok.

Sementara itu, Akramuddin berkata, pihaknya tidak akan 'buang' empat persatuan yang tidak mahu bersama dengan PSM dengan tetap menjemput mereka menyertai kejohanan atau aktiviti yang dianjurkan badan induk sepak takraw negara itu.

"Kita sudah buat keputusan ketiga-tiga negeri ini akan dipanggil juga untuk menyertai liga sepak takraw melalui Majlis Sukan Negeri masing-masing begitu juga dengan Perlis.

PSM tidak menyisihkan keempat-empat negeri ini dan masih memberi ruang dan peluang kepada mereka," katanya.

Mengikut rekod,PSM sebelum ini dikenakan hukuman penyingkiran daripada Astaf manakala bekas presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail dijatuhkan hukuman penggantungan selama 17 tahun sehingga 2038.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 7:11 PM