ZIYAD berjanji menjadi lebih baik dan mahu melakukan lontaran sejauh 18 meter di Kejohanan Dunia. FOTO AFP
ZIYAD berjanji menjadi lebih baik dan mahu melakukan lontaran sejauh 18 meter di Kejohanan Dunia. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas lapan hari kejadian balingan emasnya tidak diiktiraf, kini atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sudah boleh kembali tersenyum.

Ziyad akui dia sudah boleh move on dengan takdir yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya biarpun mengakui begitu berat dia menerima keadaan itu terutama apabila turun beraksi di temasya Paralimpik Tokyo 2020 pada hari Kemerdekaan Negara yang ke-64.

Keinginan untuk menghadiahkan sesuatu kepada negara pada hari bermakna itu tidak kesampaian membuatkan menambah luka kejadian di call room itu.

Tapi Ziyad akur kerana dia melihat, hikmah yang tersembunyi apabila seluruh rakyat Malaysia berada di belakangnya menghulurkan sokongan dengan kata-kata semangat sehingga membuatkan dia mahu bangkit menjadi Ziyad yang lebih berjaya lagi selepas ini.

"Saya berjanji pada diri saya untuk saya menjadi lebih baik dan selepas ini saya mahu 18 meter dan saya akan cuba lakukannya di Kejohanan Dunia di Kobe, Jepun nanti.

"Saya tak perlu bersedih lagi. Saya sudah buang semua perasaan sedih itu dan ambil yang baru. Saya lihat apa yang terjadi ini sebagai satu hikmah yang mana seluruh rakyat Malaysia berdiri di belakang memberi sokongan kepada saya dan itu buat saya lebih bersemangat.

"Rakyat Malaysia bersama-sama berganding bahu, bagi saya semangat. Terima kasih semua. Saya berjanji saya akan usaha lagi selepas ini," katanya yang melakukan rekod dunia 17.94 meter (m) pada balingan ketiga di temasya Paralimpik Tokyo namun akhirnya tidak diiktiraf kerana kesalahan teknikal atas kelewatan melaporkan diri di bilik menunggu.

Kata Ziyad, tiga hari selepas tarikh itu cukup kritikal sehingga mengganggu pemikiran dan tidurnya dan pernah terfikir bagaimana untuk teruskan hidup.

"Hari pertama saya tak dapat nak tidur. Saya jadi gelisah, sedih. Saya jadi murung. Emosi dan fizikal terganggu. Macam mana nak teruskan hidup. Saya korbankan macam-macam. Hari kedua pun sama. terbayang apa yang sudah terjadi.

"Tapi masuk hari ketiga saya sudah semakin pulih. Emosi saya kini sudah 100 peratus ok," katanya.

Kata Ziyad dia tidak akan menoleh ke belakang lagi dan selepas ini antara kejohanan yang akan diberikan perhatian bermula di Kejohanan Dunia, Sukan SEA Hanoi, Sukan Asia dan Para Asia di Hangzhou.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 3:14 PM