ZIYAD (kiri) bersama jurulatihnya, Mohd Faizol Harun. FOTO Aizuddin Saad
ZIYAD (kiri) bersama jurulatihnya, Mohd Faizol Harun. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Sepang: Jurulatih kepada Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohd Faizol Harun mengakui bahawa beliau adalah individu yang bertanggungjawab di atas kejadian yang berlaku terhadap Ziyad di temasya Paralimpik Tokyo.

"Saya sebagai jurulatih dan orang yang dekat dengan Ziyad, saya bertanggungjawab terhadap atas apa yang berlaku.

"Jangan menyalahkan orang lain," itu jelas Faizol menjawab persoalan terhadap kritikan netizen yang mahu pegawai pengiring kepada Ziyad bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian yang berlaku kepada Ziyad.

Peristiwa hitam yang dialami Ziyad dalam acara lontar peluru F20 itu sehingga hari ini mendapat perhatian dunia apabila dinafikan kemenangannya kerana melakukan kesalahan teknikal selepas lewat tiba di bilik menunggu.

Faizol yang tiba ke tanah air bersama kontinjen negara jam 5.20 petang itu bagaimanapun tampil menjelaskan situasi sebenar ketika hari kejadian.

Katanya, Ziyad perlu sampai dan masuk ke bilik menunggu itu pada sebelum jam 5.55 petang dan mereka sampai tepat pada waktu itu.

"Untuk pengetahuan semua, kami tiba di trek memanaskan badan pada jam 4.15 petang dan bersedia untuk ke venue pertandingan pada jam 5.30 petang yang mana perjalanan daripada trek ke venue memakan masa lapan hingga 10 minit.

"Perjalanan ke Call Room itu ambil masa lapan hingga 10 minit tapi kalau berjalan pantas mungkin lima hingga enam minit.

"Kami tak 'rushing' jalan biasa dan bila tiba ke Call Room ada atlet Greece di hadapan dan dia dibenarkan masuk.

"Tapi bila kami sampai giliran Ziyad saya tengok jam yang ada di situ tunjukkan 5.55 petang tapi kami tak dibenarkan masuk.

"Sepatutnya kami dibenarkan untuk masuk kerana peserta untuk lontar peluru masih berada di Call Room pertama," katanya.

Faizol berkata, dia kemudiannya terus merayu untuk dibenarkan masuk dan ketika itu atlet Australia dan Ecuador datang dan merayu sama namun penolong pengadil berkata 'maaf' anda terlambat kerana jam sudah menunjukkan 5.56 petang.

"Saya terus merayu dengan ketua pengadil untuk benarkan Ziyad masuk dan akhirnya kami dibenarkan masuk tapi ketika itu jurulatih Ukraine berkata jika benarkan Ziyad bertanding mereka akan buat protes.

Faizol berkata, dia hanya mengetahui status Ziyad selepas lontaran ketiga dan kemudiannya membuat bantahan dan terus merujuk kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan ketua kontinjen Datuk Seri Megat DShahriman Zaharuddin.

Sebelum kejadian Ziyad membuktikan dia atlet terbaik dunia apabila melakukan lontaran 17.94m sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Balingan Ziyad itu hadir pada percubaan ketiga di Stadium Olimpik itu.

Bagaimanapun malang menimpanya apabila kemenangannya menerusi acara itu tidak diiktiraf selepas dia serta dua lagi peserta lain dari Ecuador dan Australia difahamkan menerima protes daripada kem Ukraine kerana dikatakan lambat memasuki 'call room' atau bilik persediaan atlet sebelum turun beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 9:01 PM