Aksi Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO AFP
Aksi Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pihaknya kini sedang menunggu maklum balas daripada penganjur Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berhubung permohonan bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ia amat diperlukan untuk dikemukakan kepada Olahraga Para Dunia (WPA) dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) bagi rayuan kes insiden membabitkan atlet lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli.

Namun hingga kini masih belum ada sebarang maklum balas daripada pihak penganjur temasya berkenaan berhubung permohonan rakaman CCTV berkenaan.

"Rakaman CCTV itu adalah penting untuk membuktikan penjelasan yang dibuat Ziyad dan jurulatihnya Mohd Faizol Harun bahawa mereka tiba tepat pada waktunya.

Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin

"Perkara ini sudah diusulkan kepada mereka sejak saya di Tokyo tapi kita masih belum dapat maklum balas dan memang kita berharap dapat rakaman itu secepat mungkin.

"Apapun kita tunggu saja dan diharapkan semua pihak boleh bersabar. Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk Ziyad," katanya.

Megat tiba ke tanah air Isnin lalu berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada WPA dan IPC sebaik selesai tempoh kuarantin yang ditetapkan kepadanya.

Terdahulu, emas Ziyad yang melakarkan rekod dunia dengan balingan 17.94 meter (m) di Tokyo tidak diiktiraf selepas dikatakan melakukan kesalahan teknikal kerana lewat mendaftar di bilik menunggu 'call room'.

Dia diklasifikasi sebagai tidak bermula (DNS) seterusnya membolehkan atlet Ukraine, Maksym Koval dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 5:02 PM