ZIYAD akan beraksi di Paralimpik Tokyo. FOTO Osman Adnan
ZIYAD akan beraksi di Paralimpik Tokyo. FOTO Osman Adnan
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengharapkan pengorbanannya demi negara tahun ini akan meninggalkan memori terindah dalam kariernya sebagai atlet negara.

Akan beraksi di temasya Paralimpik Tokyo yang bermula dari 25 Ogos ini, Ziyad sekali lagi tidak dapat menyambut perayaan Aidiladha bersama keluarga kerana menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Konsep latihan secara kuarantin sejak empat bulan lalu itu tidak membenarkan atlet keluar dari pusat latihan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Bagi Ziyad, dia kini sudah dapat mengawal tekanan dan emosi itu apabila memikirkan perjuangan demi negara yang masih belum selesai.

"Inilah yang dinamakan pengorbanan atlet untuk negara. Saya akan melakukan apa saja untuk memberikan yang terbaik. Ini adalah perjuangan untuk emas kepada Malaysia.

"Mujur keluarga, isteri dan anak-anak memahami situasi saya dan itu sudah cukup untuk saya kekal fokus kepada latihan.

"Tapi saya akui dua bulan awal, ketika tidak dibenarkan keluar ke mana-mana agak mengganggu emosi tapi sekarang tidak lagi apabila jurulatih, atlet semua memahami tugas masing-masing," katanya.

Barisan atlet paralimpik negara kini menunggu giliran untuk beraksi dan mendoakan kejayaan rakan atlet yang akan berjuang di temasya Olimpik Tokyo yang akan membuka tirainya pada 23 Julai ini.

Kata Ziyad, dia sendiri sudah tidak sabar untuk beraksi dengan melepaskan apa yang terbuku dengan menterjemahkannya kepada balingan terbaik seterusnya emas buat negara.

Lima tahun lalu, kontinjen negara melakar pencapaian gemilang di temasya Paralimpik Rio dengan membawa pulang tiga emas menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Ziyad dan Abdul Latif Romly dan satu gangsa, Siti Noor Radiah Ismail, lompat jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 8:41 PM