ZIYAD miliki catatan terbaik acara lontar peluru 17.29 meter.
ZIYAD miliki catatan terbaik acara lontar peluru 17.29 meter.
Aida Adilah Mat


BIARPUN usia makin meningkat, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio dalam acara lontar peluru, Ziyad Zolkefli yakin dia masih lagi mampu mempertahankan emas dimenanginya di Tokyo.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia mampu mengekalkan momentum balingan malah lebih baik daripada apa dilakukan ketika di Rio lalu.

Ziyad, 30, berkata, jika sebelum ini dia melakukan yang terbaik, namun di Tokyo nanti dia akan buat yang lebih istimewa.

"Usia bukan penghalang segalanya. Saya akan fokus balik dengan latihan selepas tempoh ini (Perintah Kawalan Pergerakan). Lepas semua perancangan terjejas kerana PKP, Insya-Allah saya akan kembali fokus kepada latihan sepenuhnya selepas Hari Raya dan untuk tempoh 10 bulan ke hadapan ini," katanya yang beraksi dalam kategori F20.

Apa yang membuatkannya lebih yakin adalah ketika dia menyertai pertandingan pertama di Jerman Februari lalu, pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur itu melakukan balingan 16.42 meter (m).

"Kebiasaannya, lontaran saya sekitar 15.7, 15.8m pada pertandingan pertama namun tahun ini saya berjaya lakukan balingan 16m ke atas. Itu yang buat saya yakin saya mampu untuk melontar lebih jauh lagi di Tokyo nanti.

"Jika saya terus fokus saya rasa tiada masalah untuk melakukan balingan 17m dan berada di tahap terbaik untuk memburu emas di Tokyo," katanya yang merekodkan balingan terbaik 17.29 di Kejohanan Paralimpik Dunia di London pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 10:36 PM