SYAIFUL beraksi dalam kategori S5. - FOTO MSN
SYAIFUL beraksi dalam kategori S5. - FOTO MSN
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli nyata dapat melupakan detik hitam dibatalkan penyertaannya sebanyak dua kali sebelum ini apabila berjaya mara ke final acara S5 gaya bebas 50 meter (m), petang ini.

Pada saringan pertama sebentar tadi, Nur Syaiful menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan catatan masa 33.46 saat (s).

Dia berada di belakang dua perenang China, Tao Zheng yang melakukan catatan 31.81s manakala rakan senegara, Lichao Wang kedua dengan catatan 33.02s.

Minggu lalu penyertaannya dalam acara S5 gaya bebas 200 meter (m) dibatalkan berikutan kesalahan menampal pita pelekat di bahu akibat bisul.

Kemudian Ahad lalu dia yang turun dalam acara 100m kuak dada lelaki SB4 berdepan nasib yang sama cuma dibatalkan atas alasan berbeza.

Perenang kelahiran Sarawak itu dikatakan melakukan kesilapan apabila menyelam terlalu lama dan tidak naik ke permukaan air dalam jarak 15 meter awal.

Dia berjaya mara ke peringkat akhir 100m gaya bebas S5 Khamis lalu selain turut merekodkan satu minit 15.12 saat (s) untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik 1:15.39s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di London pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 10:13 AM