PENYERTAAN Muhammad Nur Syaiful itu dibatalkan apabila melakukan kesilapan teknikal yang tidak dijangka.
PENYERTAAN Muhammad Nur Syaiful itu dibatalkan apabila melakukan kesilapan teknikal yang tidak dijangka.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Akibat menampal pita pelekat bagi mengurangkan kesakitan pada bisul di bahunya, hasrat wakil negara dalam acara renang S5 gaya bebas 200 meter (m) lelaki di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli untuk mara ke pusingan akhir acara itu tidak kesampaian apabila penyertaannya dibatalkan.

Turun dalam saringan satu semalam, penyertaan atlet negara itu dibatalkan apabila melakukan kesilapan teknikal yang tidak dijangkanya.

Syaiful ketika dihubungi memaklumkan bahawa dia kecewa selepas mengetahui perkara itu kerana ia bukanlah kesalahan daripada pihaknya.

"Sebelum pertandingan saya sudah berjumpa pegawai bertugas mengenai masalah saya. Mereka tidak beri jawapan pasti. Mereka berkata saya boleh menampal tape (pelekat) ataupun tanggalkannya.

"Sehari sebelum pertandingan juga saya sudah berjumpa pegawai yang bertugas, jawapannya tetap sama. Mereka juga beri jawapan 50-50, boleh letak atau tanggalkan.

"Jadi bila tiada jawapan yang pasti, saya pilih untuk tampal pelekat berkenaan bagi mengurangkan rasa sakit di bisul berkenaan yang sudahpun bernanah," katanya yang akan turun beraksi dalam acara 100m hari ini.

Bagaimanapun Syaiful masih berpeluang menebus kehampaan kerana masih mempunyai tiga lagi acara iaitu 50m, 100m (gaya bebas) dan 100m kuak dada.

Nur Syaiful mengesahkan tempat ke Paralimpik Tokyo 2020 selepas meraih pingat gangsa 50m gaya bebas (S5) pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di London.

Sementara itu, Chef de Mission Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, beliau yakin Syaiful akan bangkit selepas ini kerana masih mempunyai baki acara yang belum selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 8:34 AM