ATLET berentap dalam acara  4x100m. FOTO AFP
ATLET berentap dalam acara 4x100m. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Kuartet 4x100 meter (m) Amerika Syarikat (AS) sekali lagi berdepan detik mengecewakan di Sukan Olimpik selepas gagal ke final hari ini dengan Carl Lewis menganggapnya sangat memalukan.

AS hadir di Tokyo sebagai pasukan pilihan selepas kejayaan di Kejohanan Dunia 2019 dan berpeluang menamatkan kemarau pingat emas acara itu di Olimpik sejak 21 tahun lalu.

Tetapi impian mereka musnah selepas kuartet terdiri daripada Trayvon Bromell, Fred Kerley, Ronnie Baker dan Cravon Gillespie hanya menduduki tangga keenam dengan catatan 38.10 saat ketika peringkat saringan.

Pertukaran baton yang tidak sempurna di antara Kerley dan Baker serta larian hambar Gillespie menyebabkan mereka tersingkir sekali gus kali pertama kali kuartet 4x100m negara itu gagal ke final di Olimpik.

AS kempunan gelaran Olimpik sejak 2000 dan kali terakhir mereka meraih pingat di temasya itu pada 2004 dengan memenangi perak di Athens.

Legenda pecut AS, Lewis tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan prestasi kuartet terbabit.

"Pasukan AS melakukan banyak kesilapan dalam acara berganti-ganti,'' kata Lewis di Twitter.

"Pertukaran baton salah, teknik larian juga salah dan jelas tiada kepimpinan.

"Sangat memalukan dan tidak dapat diterima buat pasukan AS yang saya nampak lebih buruk daripada mereka yang bertanding di AAU (Amateur Athletic Union)."

Manakala Leroy Burrell, kuartet yang meraih emas 1992 bersama Lewis berkata: "Saya hilang kata-kata."

Acara saringan itu dimenangi China dengan catatan 37.92s manakala Kanada yang diperkuatkan juara 200m, Andre de Grasse ditempat kedua dan Itali ketiga (37.95.)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 1:14 PM