KEVIN Campbell. FOTO AGENSI
KEVIN Campbell. FOTO AGENSI
AFP

London: Bekas penyerang Liga Perdana, Kevin Campbell meninggal dunia pada usia 54 tahun, umum bekas kelabnya, Arsenal dan Everton, hari ini.

Campbell memegang rekod penjaring terbanyak di Liga Perdana dengan 83 gol selaku pemain yang tidak pernah membuat penampilan di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

"Semua di Arsenal sangat sedih mendengar kematian bekas pemain kami yang sangat disayangi Kevin Campbell," kata Arsenal.

Campbell yang tidak sihat sejak bulan lalu, menyertai The Gunners ketika zaman remajanya pada 1985 sebelum membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada 1988.

Dia bermain 228 perlawanan untuk Arsenal, menjaringkan 59 gol dan memenangi kejuaraan liga, Piala FA, Piala Eropah dan Piala Liga.

"Beraksi bersama pasukan yang saya sokong adalah impian menjadi kenyataan," katanya.

Dalam 164 perlawanan untuk Everton, dia menjaringkan 51 gol, termasuk sembilan gol dalam lima perlawanan yang menyelamatkan mereka daripada tersingkir pada 1999.

"Semua di Kelab Bola Sepak Everton berasa amat sedih apabila mengetahui pemergian salah seorang bekas penyerang kelab yang paling popular dan disayangi, Kevin Campbell," kata kelab itu di laman web mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 8:31 PM