ANTARA dua pendaki yang sesat ketika mendaki di hutan Bukit Maras, Batu Rakit. FOTO Zatul Iffah Zolkipy
ANTARA dua pendaki yang sesat ketika mendaki di hutan Bukit Maras, Batu Rakit. FOTO Zatul Iffah Zolkipy
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Empat pendaki yang sesat ketika mendaki di hutan Bukit Maras, Batu Rakit di sini berjaya diselamatkan pasukan penyelamat petang tadi.

Mereka sekeluarga yang terdiri daripada sepupu berusia antara 21 hingga 28 tahun dari Kota Bharu, Kelantan berjaya dibawa turun ke kaki bukit pada 5.30 petang selepas tersesat hampir tiga jam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang mangsa kira-kira 12.40 tengah hari.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan itu, pasukan penyelamat bergerak ke lokasi kejadian untuk misi mencari dan menyelamat.

Katanya, hasil maklumat awal mendapati empat mangsa terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita mula mendaki 6.50 pagi dan tiba di puncak bukit dua jam kemudian.

"Mangsa memaklumkan mereka tersesat apabila menemui pokok tumbang yang menghalang laluan dan tidak menemui papan tanda ketika mahu turun

dari puncak bukit pada 12 tengah hari.

"Operasi mencari seramai 26 orang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bersama penduduk kampung bermula jam 1 petang.

"Pasukan penyelamat mengesan isyarat telefon pada 1.30 tengah hari yang berjaya membawa kepada penemuan kesemua mangsa pada jam 2.30 petang pada jarak lima kilometer dari tangki air Bukit Maras.

"Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat namun berada dalam keadaan keletihan dan dibawa turun menaiki kenderaan pacuan empat roda sebelum tiba di kaki bukit pada 5.30 petang," katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Shahrul Amin Nozi, 21, berkata, dia bersama tiga sepupunya mula mendaki bukit berkenaan jam

6.50 pagi sebelum tersesat jam 12.40 tengah hari ini.

"Ini pengalaman pertama kami semua mendaki Bukit Maras kerana tertarik dengan keindahan pemandangan dan tak sangka tersesat.

"Alhamdulillah, syukur sebab akhirnya menghadirkan orang baik untuk selamatkan kami. Apa yang berlaku ini tidak membuatkan kami serik dan ia dijadikan satu memori untuk kami untuk lebih berhati-hati, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 8:52 PM