REAKSI Pelari Pecut Kuartet Negara selepas larian mereka dibatalkan selepas melakukan kesilapan ketika pertukaran baton. FOTO Bernama
REAKSI Pelari Pecut Kuartet Negara selepas larian mereka dibatalkan selepas melakukan kesilapan ketika pertukaran baton. FOTO Bernama
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain

 

JAKARTA: Kesilapan ketika pertukaran baton menghancurkan harapan kuartet 4x100 meter negara apabila larian mereka dibatalkan ketika aksi final Sukan Asia di Stadium Utama, Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Pelari pertama, Nixson Kennedy memberikan baton kepada pelari kedua, Jonathan Nyepa di luar zon sepatutnya menyebabkan ia terbatal secara automatik.

Jurulatih skuad pecut negara, M Balamurugan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas insiden berkenaan yang disifatkan perkara lumrah dalam acara berganti-ganti.

Katanya semua perancangan sudah diatur dengan teliti selepas kuartet berkenaan mara ke final namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Kita yakin mereka akan berupaya memecahkan rekod kebangsaan malam ini tetapi apakan daya. Mereka berada di prestasi terbaik tetapi tiada rezeki pada malam ini," kata Balamurugan.

Ditanya mengenai formasi pelari hari ini, dengan Nixson diletakkan sebagai pelari pertama berbanding Muhammad Haiqal Hanafi, Balamurugan menjelaskan ia bukanlah penyebab kegagalan berkenaan.

Katanya, gandingan malam ini adalah yang terbaik dan Haiqal digunakan untuk mara ke final semalam.

"Selepas meneliti rakaman video semalam, kita cuba memperbaikinya hari ini tetapi tidak bernasib baik. Ia perkara biasa terjadi walaupun kuartet kelas dunia sekalipun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 12:12 AM