ALLYSON (kiri) bersama kuartet 4x400m AS. FOTO EPA
ALLYSON (kiri) bersama kuartet 4x400m AS. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Allyson Felix menutup tirai kariernya di Olimpik dengan penuh gemilang apabila meraih emas ketujuh ketika membantu Amerika Syarikat (AS) memenangi acara 4x400 meter (m) lari berganti-ganti, hari ini.

Allyson yang pada semalam meraih gangsa dalam acara 400m, membantu pasukan 'Dream Team' AS memenangi perlumbaan hari ini dengan catatan 3 minit 16.85 saat.

Kuartet Poland meraih perak manakala Jamaica gangsa.

AS menyenaraikan kuartet terbaik yang dibarisi pemegang rekod dunia acara 400m lari berpagar, Sydney McLaughlin; pemenang perak 400m lari berpagar, Dalilah Muhammad dan pemenang pingat emas 800m, Athing Mu bersama-sama Allyson.

Sydney bermula sebagai pelari pertama sebelum Allyson meneruskan momentum dalam usaha memecahkan rekod dunia 3:15.17s yang bertahan selama 33 tahun milik Kesatuan Soviet yang dilakukan di Olimpik Seoul.

Bagaimanapun ketika Dalilah mempamerkan larian meyakinkan sebelum digantikan dengan Athing selaku pelari terakhir, rekod itu gagal untuk dicapai oleh pelari muda berusia 19 tahun itu.

Allyson, 35, beraksi pada Olimpik kelima dan terakhir dan kini dia sudah mempunyai 11 pingat di Olimpik.

Pingat ke-11 yang dimenangi itu juga menyaksikan Allyson mengatasi rekod 10 pingat dimenangi Carl Lewis dalam sejarah atlet trek dan padang AS di Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 9:49 PM