BROMELL muncul pelari terpantas dunia tahun ini. FOTO Agensi
BROMELL muncul pelari terpantas dunia tahun ini. FOTO Agensi
AFP

Eugene, Amerika Syarikat: Trayvon Bromell mengesahkan tempat ke separuh akhir 100 meter (m) kejohanan olahraga ujian Olimpik Amerika Syarikat selepas mencatatkan 9.84 saat dengan bantuan angin.

Bromell, muncul pelari terpantas dunia tahun ini selepas merekodkan 9.77s ketika beraksi di Florida pada Jun lalu, bermula dengan sempurna dan memimpin perlumbaan untuk muncul juara di Eugene Hayward Field.

Bromell diletakkan sebagai pilihan untuk meraih emas di Tokyo selepas kembali pulih daripada kecederaan yang mengancam kariernya.

"Saya percaya pada diri saya. Doktor memberi tahu saya bahawa saya tidak akan berlari semula," kata Bromell. "Tapi saya percaya pada diri."

Pelari berpengalaman Justin Gatlin, pemenang pingat emas Olimpik 2004 yang berusaha untuk membuat penampilan keempat Olimpik pada usia 39 tahun, menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Bromell merekodkan 9.93s.

"Ada ketika sewaktu latihan, saya berasa seperti berusia 39 tahun tapi saya masih hidup lagi ketika ini," kata Gatlin.

"Hari ini saya hanya melakukan latihan dan pastikan saya capai apa yang diinginkan esoknya."

Juara dunia 200m, Noah Lyles, yang menyasarkan untuk menguasai acara 100 dan 200m di Tokyo, dilihat berdepan masalah ketika peringkat saringan.

Dia bermula agak perlahan sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketiga 9.95, di belakang Ronnie Baker (9.88) dan Fred Kerley (9.93).

"Saya kena pastikan saya tidak melakukan kesalahan false start," kata Lyles. "Saya berasa sedikit berkarat. Saya hanya memikirkan satu pusingan ke pusingan dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 12:16 PM