YANNICK Carrasco (kiri). FOTO AFP
YANNICK Carrasco (kiri). FOTO AFP
Reuters

Frankfurt: Belgium yang berwajah baharu berharap dapat melupakan kenangan pahit kempen Piala Dunia 2022 dan melanjutkan rekod tanpa kalah 15 perlawanan apabila bertemu Slovakia pada aksi pertama Kumpulan E, Kejohanan Eropah, Selasa ini.

Generasi emas Belgium tersingkir seawal pusingan pertama di Qatar, tetapi dengan beberapa muka baru dalam pasukan, Belgium tidak pernah tewas sejak jurulatih, Domenico Tedesco mengambil alih pasukan pada Februari tahun lalu.

Mereka mungkin kurang menjadi tumpuan di Jerman dan tidak lagi menjadi antara pasukan pilihan, tetapi jika mereka kekal tenang dan barisan pemain utama bebas daripada kecederaan, maka apa sahaja boleh berlaku.

Belgium mengekalkan rekod tanpa bolos dalam 10 daripada 15 perlawanan di bawah bimbingan Tedesco dan sudah menjaringkan 33 gol.

Romelu Lukaku, Kevin De Bruyne dan Jan Vertonghen adalah antara pemain paling berpengalaman di kalangan skuad muda seperti Jeremy Doku, Johan Bakayoko dan Amadou Onana.

"Pengalaman di Qatar menjadikan kami lebih matang dan melihat kempen kali ini dengan cara yang berbeza," kata pemain sayap Yannick Carrasco kepada wartawan.

"Sebagai pasukan pilihan, terdapat lebih banyak tekanan. Menjadi pasukan bukan pilihan pula adalah lebih baik tetapi semua orang tahu kami mahu pergi sejauh mungkin.

"Terdapat suasana yang baik (dalam pasukan) dan semangat kebersamaan. Semua pemain bersemangat dan sangat bermotivasi," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 8:13 PM