AZREEN (kanan) mengakui berpuas hati dengan prestasinya terutama selepas memperbaharui catatan peribadi 11.77s yang dilakukan dalam peringkat kelayakan sebelum itu. -FOTO AFP
AZREEN (kanan) mengakui berpuas hati dengan prestasinya terutama selepas memperbaharui catatan peribadi 11.77s yang dilakukan dalam peringkat kelayakan sebelum itu. -FOTO AFP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perjuangan atlet pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias berakhir di pusingan pertama selepas hanya mampu menamatkan larian di kedudukan ketujuh dengan catatan 11.91 saat (s) yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo, sebentar tadi.

Azreen, 21, yang cemerlang pada peringkat kelayakan 100 meter (m) pada sesi pagi dengan meraih tempat kedua, bagaimanapun gagal memberi saingan apabila saringan keenam dalam pusingan pertama itu dimenangi jaguh dunia, Blessing Okagbare dari Nigeria yang melakar 11.05s untuk mara ke separuh akhir.

Dua lagi pelari yang turut mengikut jejak Blessing ke pusingan berikutnya ialah Asha Philip dari Britain dengan catatan 11.31s diikuti atlet Bahamas, Tynia Gaither yang merekodkan 11.34s.

Menurut Azreen, walaupun gagal mara lebih jauh pada temasya pertama Olimpik buatnya itu, namun dia mengakui berpuas hati dengan prestasinya terutama selepas memperbaharui catatan peribadi 11.77s yang dilakukan dalam peringkat kelayakan sebelum itu.

Malah katanya, kejayaan melepasi peringkat awal itu juga ditujukan buat jurulatihnya, M Balamurugan yang tidak bersamanya di Tokyo kali ini, di mana Azreen hadir tanpa jurulatihnya itu.

"Jurulatih ada bagi pesanan melalui Whatsapp saja, dia pesan supaya fokus pada larian saja. Jadi pada saya, bukan mudah berlari dengan orang (atlet lain) yang lebih pantas daripada saya, lagi-lagi tanpa jurulatih dan itulah cabaran terbesar buat saya.

"Secara peribadi saya rasa cukup puas hati dan dalam perlumbaan tadi saya tak tengok kiri kanan, sebaliknya fokus pada diri saya sahaja," kata pelari pecut yang berasal dari Terengganu itu.

Azreen yang juga seorang penuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Komunikasi hadir ke pentas Olimpik selepas menerima tiket wild card yang diberikan Kesatuan Olahraga Malaysia.

Walaupun tidak diletakkan sebarang harapan, Azreen membuktikan sebaliknya apabila melepasi pusingan kelayakan dan turut mencatat rekod peribadi terbaiknya 11.77s, sekaligus memadamkan rekod 11.81s yang dilakukan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 12:50 PM