IPOH 18 SEPTEMBER 2018. Atlet Terengganu, Azreen Nabila Alias (kiri) memenangi acara 100 meter wanita serta pecah rekod kejohanan dengan 11.81 saat pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Perak, Ipoh. NSTP/ABDULLAH YUSOF
IPOH 18 SEPTEMBER 2018. Atlet Terengganu, Azreen Nabila Alias (kiri) memenangi acara 100 meter wanita serta pecah rekod kejohanan dengan 11.81 saat pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Perak, Ipoh. NSTP/ABDULLAH YUSOF
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut 100 meter (m) wanita negara, Azreen Nabila Alias perlu melipat ganda usaha memperbaiki kualiti larian apabila dia kemungkinan tersenarai antara atlet yang akan beraksi di temasya Olimpik Tokyo bulan depan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu berkata, situasi terbabit bakal menjadi kenyataan apabila jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei layak ke temasya berkenaan menerusi merit.

Beliau berkata, pemilihan Azreen untuk mengisi slot tiket 'wildcard' ke Olimpik Tokyo dilihat berdasarkan prestasi terkini yang dipamerkannya terutama di kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia dua bulan lalu.

"Segala keputusan akhir berkaitan sama ada Azreen layak atau sebaliknya akan ditentukan pada awal bulan depan selepas mendapat pengesahan daripada Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

"Azreen menunjukkan prestasi terbaiknya sekali gus KOM menyenaraikan atlet berkenaan untuk mengisi kuota 'wildcard' nanti.

"Segalanya bergantung kepada Hup Wei jika dia layak secara merit sekali gus memberi kelebihan kepada kem olahraga untuk menghantar lebih ramai atlet," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 itu mencipta sensasi apabila muncul juara 100m ketika saingan GP Malaysia bulan lalu dengan catatan 12.00s, mengenepikan cabaran dua atlet berpengalaman, Komalam Shally yang mengakhiri saingan di tempat kedua (12.01s) dan Siti Fatimah Mohamad ketiga (12.12s).

Dengan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan, Azreen dilihat berpotensi untuk menjadi sandaran skuad olahraga negara dalam kategori 100m wanita.

Sementara itu, Hup Wei pula terus memperkukuh peluangnya untuk bertanding di Sukan Olimpik Tokyo selepas memenangi acara itu pada Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, baru-baru ini.

Atlet berusia 34 tahun itu meraih pingat emas selepas melakukan lompatan melepasi ketinggian 2.10 meter, jauh di bawah prestasi terbaiknya iaitu 2.29 meter yang dicatat pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 2:20 PM