ANTARA atlet yang memberi sokongan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan. FOTO MSN
ANTARA atlet yang memberi sokongan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan. FOTO MSN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib rakyat di Palestin, atlet dan jurulatih sukan negara ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan secara dalam talian.

Ia sebagai satu inisiatif kemanusiaan membantu rakyat Palestin yang sedang memerlukan.

Lebih 300 orang atlet dan jurulatih yang terbabit menzahirkan keprihatinan mereka terhadap isu semasa yang sedang berlaku di Palestin dan berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ketika mereka dalam keadaan sukar serta mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Palestin.

Antara atlet yang memberi sokongan adalah Luqman Al Hafiz Zulfa (Gimnastik), Kirtana Ramasamy (Olahraga), Tan Cheong Ming (Wushu), Chew Wei Lun (Boccia), Sarah Yap Khim Wen (Taekwondo), Mohd Fauzi Khalid (Silat), Cheah Like Hou (Para Badminton), Farah Ann Abd Hadi (Gimnastik), Mohd Fadhil Zonis (Berbasikal), Wendy Ng Yan Yee (Terjun), Muhammad Ziyad Zolkefli (Para Olahraga), Azizulhasni Awang (Berbasikal) dan Datuk Nicol David (bekas atlet skuasy).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, turut menzahirkan penghargaan beliau terhadap keprihatinan barisan atlet dan jurulatih yang mencetuskan ilham penubuhan Tabung ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan ini adalah satu usaha bersama dan sumbangan kecil warga sukan negara kepada kemanusiaan.

"Sukan adalah suara universal dan kita turut terkesan dengan isu-isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin. Semoga sumbangan kecil ini, sedikit sebanyak dapat melengkapi keperluan mereka di sana," katanya.

Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan ini dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan boleh menerima sumbangan sama ada daripada individu mahupun organisasi.

Sumbangan melalui akaun bank, Affin Islamic dengan nombor Akaun 105200000268 (Majlis Sukan Negara Malaysia) atas nama Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 3:05 PM