Reezal Merican (tengah) menyampaikan anugerah kepada wakil atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Anak Gustin yang dinobat sebagai Atlet Para Terbaik ketika menghadiri Majlis Anugerah SAM 2019 di Akademi Badminton BAM, Bukit Kiara. FOTO BERNAMA
Reezal Merican (tengah) menyampaikan anugerah kepada wakil atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Anak Gustin yang dinobat sebagai Atlet Para Terbaik ketika menghadiri Majlis Anugerah SAM 2019 di Akademi Badminton BAM, Bukit Kiara. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


KECEMERLANGAN dan rentetan kejayaan dirangkul sepanjang 2019 membolehkan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Anak Gustin dinobat pemenang Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik di majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)–100PLUS 2019, di sini, semalam.

Pemilihan Azizul itu berdasarkan kejayaannya merangkul juara di kejohanan trek Siri Dunia di Cambridge Disember lalu, menewaskan bekas juara dunia, Shane Perkins dan Matthew Glaetzer selain meraih pingat emas selepas muncul juara acara pecut individu di kejohanan Trek Asia 2019 di Korea Selatan pada Oktober lalu.

"Terima kasih kepada SAM kerana pilih saya sebagai pemenang.

"Sudah tentu saya jadikan anugerah ini sebagai sumber motivasi bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik tahun depan. Keadaan sungguh mencabar, namun saya tidak putus asa dan menguatkan semangat demi merealisasikan impian pingat emas pertama untuk rakyat Malaysia," kata Azizulhasni yang sebelum ini turut meraih anugerah sama pada 2009 dan 2017.

Azizul mengatasi empat lagi calon - Farah Ann Abd Hadi (gimnastik), S Kisona (badminton), atlet luncur ais Julian Yee dan Loh Choon How (wushu).

Sementara itu, Bonnie daripada sukan powerlifting memecah dominasi olahraga apabila dipilih menerima Anugerah Atlet Para Terbaik 2019.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 20 tahun itu mengatasi tiga lagi pencabar disenarai pendek, S Suresh dan Wiro Julin daripada sukan memanah serta Ziyad Zolkefli (olahraga).

Bonnie mencipta sejarah di bumi Kazakhstan apabila meraih dua pingat emas di Kejohanan Dunia di Nur-Sultan.

Azizulhasni dan Bonnie Bunyau masing-masing membawa pulang trofi dan hadiah RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pada majlis itu, Reezal turut mengumumkan bantuan kewangan RM100,000 dan RM50,000 sebagai subsidi membiayai sewa ruang pejabat SAM untuk tempoh dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 6:00 AM