Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) membuktikan keprihatinan apabila menyerahkan sumbangan wakalah berjumlah RM10,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Menurut Rizal, sumbangan wakalah kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima adalah tanda sokongan dan solidariti SME Corp kepada rakyat Palestin.

Katanya, ia seiring dengan semangat Malaysia Madani yang menyokong keamanan sejagat.

"Ini kali pertama kami sumbang wakalah kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

"Insya-Allah, ada rezeki akan teruskan dan sekiranya diberi peluang kita akan terus menyumbang bukan hanya kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, tetapi juga yang lain.

RIZAL (dua kanan) menyampaikan sumbangan wakalah berjumlah  RM10,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima  kepada Syed Hussian (kiri) sambil disaksikan Ewon Benedick pada majlis rumah terbuka SME Corp. FOTO Rohanis Shukri
RIZAL (dua kanan) menyampaikan sumbangan wakalah berjumlah RM10,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima kepada Syed Hussian (kiri) sambil disaksikan Ewon Benedick pada majlis rumah terbuka SME Corp. FOTO Rohanis Shukri

"Ia kerana kita percaya sumbangan diberi akan sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra bersama Rakan Strategik sempena sambutan Aidilfitri anjuran SME Corp di Platinum Sentral, di sini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Selain Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, sumbangan wakalah SME Corp juga disampaikan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah dan Maahad Tahfiz Darul Muhibbin.

Orang ramai boleh terus menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima menerusi akaun Maybank bernombor 564276510331 atau Bank Muamalat bernombor 14010008844715.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 4:03 PM