KETUA jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh. -FOTO NSTP
KETUA jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh memberi amaran kepada anak buahnya terutamanya barisan pemain muda agar tidak lagi melakukan kesilapan mudah yang bakal menghukum mereka pada edisi Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) kali ini.

Sarjit berkata demikian selepas menyaksikan barisan pemainnya hilang fokus di hujung perlawanan ketika bertemu Pakistan semalam yang akhirnya menyaksikan skuad negara tewas 4-5 meskipun pada satu ketika berpeluang untuk meraih tiga mata penuh.

Jelas Sarjit, pada perlawanan antarabangsa yang mempunyai kualiti permainan tinggi seperti di PSAS, barisan pemain negara yang tampil selaku juara bertahan tidak seharusnya melakukan kesilapan mudah sehingga akhirnya akan merugikan diri sendiri.

"Pada perlawanan seperti ini, kami perlu lebih berwaspada dan mengawal permainan. Tetapi saya faham pemain masih menyesuaikan diri dengan corak permainan semasa.

"Sebab itulah mereka perlu tampil beraksi lebih banyak perlawanan supaya dapat bersedia untuk menangani situasi seperti ini.

"Kesilapan seperti memberikan pukulan sudut penalti perlu diperbaiki supaya kita tidak mengalami situasi sama pada masa hadapan," katanya.

Sarjit bagaimanapun masih meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada barisan pemainnya dalam usaha beliau membentuk sebuah pasukan mantap untuk Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya.

"Saya percaya barisan pemain akan dapat mempamerkan aksi lebih baik pada baki perlawanan selepas ini.

"Mana-mana pemain tidak terkecuali akan melakukan kesilapan. Ia adalah satu proses pembelajaran yang baik untuk pemain seperti dialami mereka sekarang. Perjalanan masih jauh kerana matlamat utama adalah di Sukan Asia 2026," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 1:40 PM