SARJIT sedang membentuk pasukan menjelang Sukan Asia 2026. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SARJIT sedang membentuk pasukan menjelang Sukan Asia 2026. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh memberi bayangan tidak akan melepaskan Shello Silverius dan Norsyafiq Sumantri untuk membarisi skuad hoki dalam dewan negara bagi menghadapi Piala Asia di Taldykorgan, Kazakhstan dari 22 sehingga 28 Mei depan.

Jelas Sarjit, keutamaannya ketika ini adalah membentuk skuad mantap dan senarai 30 pemain yang ada ketika ini akan diberikan peluang sama rata untuk membuktikan kemampuan mereka pada kejohanan selepas ini dengan paling dekat adalah Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 4 sehingga 11 Mei depan.

Kejohanan hoki dalam dewan Piala Asia di Kazakhstan dilihat cukup penting kerana ia adalah kelayakan untuk ke Piala Dunia selain Malaysia juga turun selaku juara bertahan selepas menewaskan Iran pada aksi final dua tahun lalu di Bangkok di mana Shello dan Norsyafiq adalah antara watak utamanya.

Bagi Speedy Tigers pula, selain Piala Sultan Azlan Shah, mereka juga akan beraksi di Piala Negara-Negara dekat Poland yang akan bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.

"Sekiranya mereka terpilih dalam senarai 18 pemain terakhir, maka mereka akan beraksi di Piala Sultan Azlan Shah. Kita juga akan beraksi di Poland, jadi saya rancang untuk melakukan pertukaran pemain bagi memberi peluang kepada semua pemain.

"Kita sedang membentuk pasukan menjelang Sukan Asia 2026, jadi kami perlu mempunyai skuad yang kuat dalam tempoh dua tahun lagi. Proses itu berlaku ketika ini.

"Pasukan negara juga akan beraksi di Trofi Juara-Juara Asia (di China) pada September depan. Kami sedang berusaha mendapatkan antara 35 hingga 45 perlawanan kompetitif sepanjang tahun ini," kata Sarjit.

Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan negara, Rodhanizam Mat Radzi sebelum ini dilaporkan ada menyatakan hasrat untuk menggunakan khidmat Shello dan Norsyafiq bagi saingan di Kazakhstan.

Sarjit akan mengumumkan senarai 18 pemain untuk saingan Piala Sultan Azlan Shah selepas berakhir aksi persahabatan dengan New Zealand pada 1 Mei ini.

Kejohanan jemputan itu kali ini menyaksikan penyertaan enam pasukan iaitu Kanada, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Pakistan dan Malaysia selaku juara bertahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:10 PM